Israel derma ribuan dos vaksin Covid-19 kepada Palestin

Gambar fail menunjukkan seorang anggota perubatan menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di Nablus, Tebing Barat. - Gambar AFP
Gambar fail menunjukkan seorang anggota perubatan menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di Nablus, Tebing Barat. - Gambar AFP
A
A
A

BAITULMUQADDIS - Israel mendermakan beberapa ribu dos vaksin Covid-19 kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA), kata Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu pada Selasa.

Vaksin itu adalah untuk para pekerja perubatan Palestin di Tebing Barat.

Namun, jumlah dos yang didermakan itu tidak didedahkan.

Menurut portal Middle East Eye, negara-negara Republik Czech, Guatemala dan Honduras yang membuat keputusan memindahkan pejabat kedutaan masing-masing dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis akan juga mendapatkan vaksin itu hasil sumbangan daripada negara Yahudi itu.

"Lagi pun ia telah diputuskan untuk membantu (Palestin) dengan sejumlah vaksin untuk staf perubatan Pihak Berkuasa Palestin dan beberapa negara yang meminta Israel (vaksin Covid-19)," kata pejabat tersebut.

Menurut AFP, satu kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri itu berkata, Israel telah mendapat banyak permintaan daripada kebanyakan negara bagi membantu mendapatkan bekalan vaksin.

Kenyataan itu berkata, Israel tidak akan menghulurkan bantuan sehingga program vaksinasinya berjaya dilakukan dahulu, kata kenyataan tersebut.

Beberapa kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan Israel mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa untuk melakukan vaksinasi untuk semua penduduk Palestin di wilayah yang didudukinya di Tebing Barat dan Gaza.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Republik Czech yang merancang untuk membuka sebuah pejabat diplomatik di Baitulmuqaddis pada bulan depan berkata, ia menerima 5,000 dos vaksin Covid-19 buatan Moderna dari Israel.

Israel berjaya mengelak daripada mengalami bekalan vaksin Covid-19 tidak mencukupi sejak program vaksinasi bermula pada Disember tahun lalu ketika kebanyakan negara lain termasuk negara yang kaya menghadapi masalah bekalan vaksin.

Ini disebabkan Israel telah membuat perjanjian dengan Pfizer iaitu sebuah syarikat ubat-ubatan Amerika Syarikat (AS).

Dalam perjanjian itu, Israel akan memperoleh bekalan vaksin jika ia membekalkan data kesan suntikan vaksin tersebut kepada syarikat tersebut. - Agensi