SPRM digesa siasat pembahagian kerja konsesi Marris

Untitled
Untitled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu berhubung kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri ini.

Beliau mendakwa terdapat unsur penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam pemberian konsesi di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Khairuddin berkata, tindakan kerajaan negeri melantik sebuah syarikat melaksanakan kerja-kerja konsesi di bawah Marris dianggap sebagai tindakan monopoli yang boleh menyebabkan kontraktor kecil bumiputera gulung tikar.

"Saya mewakili kontraktor pembinaan Johor memohon SPRM menjalankan siasatan berkaitan pelaksanaan kerja- kerja penyelenggaraan jalan di bawah Marris.

"Jika ada penyalahgunaan kuasa ini mungkin menyebabkan hak kontraktor kecil dirampas oleh kontraktor besar. Tindakan ini mengakibatkan hampir 3,000 kontraktor kehilangan punca pendapatan," katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat SPRM Johor di sini pada Rabu.

Justeru, Khairuddin mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan segera melaksanakan agenda menyelamatkan kontraktor kecil bumiputera.

"Kita sudah ada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), maka kerajaan tidak perlu membazirkan duit menyalurkan duit kepada syarikat konsesi.

"Dibimbangi akan berlaku penyelewengan dalam pengagihan kerja apabila diserahkan kepada syarikat konsesi. Pasti yang akan jadi mangsa ialah kontraktor kecil Melayu yang terkesan dengan sistem berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2016 media melaporkan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) meminta kerajaan Persekutuan membatalkan projek penyelenggaraan jalan persekutuan dan bandaran di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) kepada syarikat konsesi.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Jamaluddin Puteh ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan Khairuddin kira-kira jam 11.30 pagi.