JSAHMS laluan alternatif untuk pengguna

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
A
A
A

GEORGETOWN - Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) sentiasa bersedia menerima pengguna jalan raya yang ingin ke bahagian pulau dan seberang susulan berlaku kebakaran kabel elektrik di Jambatan Pulau Pinang.

JSAHMS dalam kenyataan media memaklumkan, sebagai laluan alternatif untuk ke bahagian utama pulau seperti Batu Maung, Bayan Lepas, Balik Pulau dan George Town, JSAHMS menyediakan lapan lorong yang merangkumi perkhidmatan Smart Tag, Touch N Go dan RFID.

"Susulan insiden kebakaran kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada petang Isnin, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) selaku pemegang konsesi JSAHMS sentiasa bersedia menerima pengguna jalan raya.

"Dengan kadar tol hanya RM 5.74 (untuk kelas satu sahaja; kenderaan persendirian atau penumpang), JSAHMS merupakan pilihan untuk pengguna keluar masuk dari atau ke bahagian pulau," katanya pada Rabu.

Tambahnya, JSAHMS juga merupakan 'direct dual carriageway' yang menghubungkan secara terus Batu Kawan ke bahagian utama pulau dan menghubungkan Batu Kawan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

"Pengguna tidak perlu menempuh kesesakan jalan raya yang serius. Bagaimanapun, tidak dinafikan, JSAHMS terletak lebih jauh daripada mod lintasan yang lain namun jika dipertimbangkan dari segi kesenangan pengguna, JSAHMS merupakan alternatif terbaik.

"Mempunyai kepanjangan 16.9 kilometer di atas laut, akses yang mudah untuk ke JSAHMS dari Batu Kawan atau Lebuh Raya Utara Selatan adalah dengan mengikuti susur keluar atau Exit 1 57: E28 Persimpangan JSAHMS," katanya.

Katanya, JSAHMS turut mempunyai laluan khas untuk motosikal dan tiada larangan masa bagi kenderaan berat untuk menggunakannya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian pada petang Isnin, TNB mengesahkan kebakaran di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang melibatkan kabel 132 kilo volt (kV) dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara.

Kebakaran itu dikesan berlaku kira-kira jam 4 petang dan punca sebenar masih lagi dalam siasatan.

Bomba bersama Pasukan Tindakan Kecemasan Jambatan Pulau Pinang terpaksa menggunakan bot ke lokasi kebakaran untuk memadam api dari bawah berikutan ia melibatkan kabel elektrik di bawah jambatan terbabit.