X

Kindly register in order to view this article
!

Annuar Musa kagum komitmen Ebit Lew, Uncle Kentang

Annuar ketika mengadakan pertemuan dengan Ebit Lew pada Isnin.
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyatakan rasa kagum beliau terhadap komitmen pendakwah terkenal, Ebit Lew dan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng dalam membantu golongan susah serta memerlukan.

Annuar memaklumkan perkara itu selepas pertemuan dengan Ebit Lew pada Isnin dan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang pada Selasa.

“Hari ini (Selasa) berpeluang berbual dan makan bersama En Kuan Chee Heng @ Uncle Kentang di pejabat.

“Di luar sana banyak NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan individu yang begitu gigih membantu golongan yang susah dan memerlukan,” katanya.

Annuar berkata, beliau dapat mempelajari banyak perkara hasil pertemuan dengan kedua-duanya.

Pertemuan Annuar dengan Chee Heng pada Selasa.
Pertemuan Annuar dengan Chee Heng pada Selasa.

“Saya kagum dengan komitmen mereka. Banyak yang dapat saya pelajari daripada mereka,” katanya.

Pada Isnin, Annuar memaklumkan beliau bertemu dengan Ebit Lew dan membincangkan tentang pelbagai isu. Katanya, menerusi pertemuan itu juga beliau mempelajari mengenai banyak perkara.

“Syukur Alhamdulillah saya berkesempatan untuk berbual dengan Ustaz Ebit Lew. Saya cuba untuk memahami usaha murni beliau secara dekat serta mempelajari apa yang beliau lakukan.

“Ada juga perkara yang kami boleh saling membantu, Insya-ALLAH,” katanya.

Sementara itu, Ebit Lew menerusi perkongsian di Facebooknya turut memaklumkan pertemuan dengan Annuar demi orang miskin dan golongan memerlukan.

Menurutnya, meski ramai sudah dibantu namun masih ramai lagi yang memerlukan bantuan.

“Pohon doakan yer. Banyak perkara dibincangkan bersama Tan Sri Annuar Musa demi orang miskin dan orang yang memerlukan. Baik dan sangat rendah diri orangnya.

“Sedih sayu tadi berbual tentang orang susah. Ramai yang dah dibantu tapi ramai lagi yang masih memerlukan. Kami berbincang mengenai masalah kemiskinan dan kesusahan masyarakat kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ebit berkata, antara cadangan yang akan dilakukan bersama adalah menyediakan tapak berniaga untuk penjaja dan penginapan baharu untuk mereka yang bergelandangan di Kuala Lumpur.

“Bantuan itu seperti sediakan ‘food court’ (medan selera) dan membantu mereka dari segi dana dan lain-lain.

“Kami juga akan buat restoran percuma untuk mereka yang memerlukan dan lapar untuk makan di KL (Kuala Lumpur) dan Putrajaya. Terima kasih Tan Sri (Annuar Musa). Semoga ALLAH beri kebaikan dan kekuatan terus membantu masyarakat. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!