Padah suka-suka baling batu pada kenderaan

Batu yang ditemui di dalam bakul motosikal ditunggangi lelaki yang dipercayai terbabit kegiatan khianat membaling batu ke arah kenderaan di sekitar Ayer Tawar.
Batu yang ditemui di dalam bakul motosikal ditunggangi lelaki yang dipercayai terbabit kegiatan khianat membaling batu ke arah kenderaan di sekitar Ayer Tawar.
A
A
A

MANJUNG - Akibat perbuatan suka-suka membaling batu ke arah kenderaan di jalan, seorang penagih menerima padah apabila ditahan polis di Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar di sini pada Selasa.

Lelaki berusia 30-an itu ditahan ketika sedang menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran dan dalam keadaan khayal sekitar jam 6.10 petang.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati, lelaki itu melakukan perbuatan khianat secara sendirian setiap kali selepas mengambil dadah.

"Suspek mengaku terlibat dalam kejadian membaling batu ke arah kenderaan di sekitar Ayer Tawar di sini.

"Lelaki itu mendakwa akan menyorok di pembahagi jalan dan pokok dalam satu-satu masa untuk membaling batu ke arah kenderaan yang melalui kawasan itu," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas motosikal digunakan suspek telah menemui enam ketulan batu yang diletakkan di dalam bakul hadapan dipercayai digunakan untuk kegiatan itu.

"Pemeriksaan lanjut pada poket belakang seluar suspek turut menemui satu tiub straw berisi ketulan kristal disyaki syabu," katanya.

Beliau berkata, suspek bersama rampasan telah dibawa ke Balai Polis Ayer Tawar dan ujian air kencing dijalankan mendapati positif methaphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tular di media sosial mendakwa ada individu menyorok di pokok dan akan membaling sesuatu secara rambang ke arah kenderaan di jalan raya.

Malah, individu itu turut dikatakan akan meletakkan batu besar di tengah jalan bagi menghalang laluan kenderaan.