Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di Negeri Sembilan

Van syarikat logistik DHL yang mmbawa vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di Klinik Kesihatan Seremban 2 sambil diiringi konvoi pasukan keselamatan.
Van syarikat logistik DHL yang mmbawa vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di Klinik Kesihatan Seremban 2 sambil diiringi konvoi pasukan keselamatan.
A
A
A

SEREMBAN - Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang selamat tiba di Negeri Sembilan pada pagi Rabu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati sebuah van syarikat logistik DHL tiba di Klinik Kesihatan Seremban 2 di sini kira-kira jam 11.23 pagi dengan diiringi konvoi pasukan keselamatan.

Turut kelihatan beberapa pengamal media menunggu sejak jam 8.30 pagi di hadapan klinik berkenaan bagi membawa perkembangan terkini mengenai vaksin berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah sebenar vaksin yang ditempatkan di negeri ini masih belum diketahui termasuk jumlah individu yang bakal menerima vaksin pada fasa pertama ini.

Difahamkan, selain Klinik Kesihatan Seremban 2, vaksin berkenaan akan dihantar ke Klinik Kesihatan Tampin.

Pada Selasa, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, Malaysia akan menerima 182,520 dos tambahan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Rabu untuk edaran ke negeri-negeri yang belum menerima bekalan.

Vaksin berkenaan yang dikeluarkan di Belgium, dijadualkan tiba di KLIA, Sepang, dari Singapura pada sebelah pagi Rabu.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, vaksin itu akan diedarkan ke Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak pada Rabu manakala Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula pada Khamis.

Artikel Berkaitan: