62 banduan terbunuh rusuhan di tiga penjara Ecuador

Askar-askar tentera marin mengawal sebuah penjara yang terlibat dengan rusuhan di bandar Guayaquil, Ecuador pada Selasa. - Foto AFP
Askar-askar tentera marin mengawal sebuah penjara yang terlibat dengan rusuhan di bandar Guayaquil, Ecuador pada Selasa. - Foto AFP
A
A
A
GUAYAQUIL - Seramai 62 banduan terbunuh pada Selasa dan sejumlah lagi cedera dalam rusuhan melibatkan persaingan antara kumpulan-kumpulan tahanan di tiga buah penjara yang sesak di Ecuador, kata pihak berkuasa.

Seorang pegawai di sebuah penjara di bandar Guayaquil, barat negara itu berkata, seramai 21 banduan terbunuh dalam kejadian rusuhan tersebut.

Seramai 33 orang lagi terbunuh di sebuah penjara di Cuenca, selatan Ecuador dan lapan lagi di Latacunga, tengah negara tersebut, kata Edmundo Moncayo iaitu Pengarah SNAI yang merupakan sebuah badan pengurusan penjara milik kerajaan.

Beberapa anggota keluarga banduan dilaporkan menunggu di luar penjara Guayaquil bagi mengetahui tentang nasib ahli keluarga mereka sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia.

"Kami mahu senarai (banduan) yang terbunuh diserahkan kepada kami," kata Daniela Soria, 29, iaitu salah seorang daripada 40 wanita yang menunggu di luar penjara itu.

"Kami tahu masalah (rusuhan) itu masih belum selesai kerana setiap orang di sana (penjara) mempunyai telefon dan suami saya tidak menghubungi saya," katanya kepada AFP.

Soria juga menerima mesej suara WhatsApp daripada suaminya itu, Ricardo yang kemudian diperdengarkan untuk AFP.

"Mereka akan membunuh saya, keluarkan saya dari sini," kata rakaman suara tersebut.

Dalam rakaman itu, Ricardo kemudian kelihatan menjerit dan ia merupakan suara terakhir yang didengari daripadanya.

Artikel Berkaitan:

Presiden Ecuardo, Lenin Moreno yang membuat ciapan di Twitter menyatakan rusuhan itu mempunyai kaitan dengan pertubuhan jenayah yang terlibat secara serentak dalam tindakan keganasan di beberapa buah penjara.

Moreno berkata, pihak berkuasa sedang berusaha mengambil semula kawalan di penjara-penjara tersebut.

Pihak tentera telah ditempatkan di penjara-penjara tersebut bagi membantu polis menamatkan rusuhan itu. - Agensi