MKT, ahli Parlimen UMNO beza pendapat punca sukar buat ketetapan

MKT UMNO mengadakan pertemuan malam ini. Gambar kecil: Nazri dan Irwan
MKT UMNO mengadakan pertemuan malam ini. Gambar kecil: Nazri dan Irwan
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO berdepan dilema dalam membuat ketetapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila pendirian segelintir ahli Parlimen UMNO dilihat tidak selari dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berkata, dilema UMNO jelas kelihatan berdasarkan mesyuarat MKT parti itu di Janda Baik pada Jumaat lalu yang menyaksikan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan selepas mesyuarat selesai.

Jelas beliau, langkah UMNO itu sebenarnya pertama kali berlaku dalam sejarah dan secara tidak langsung mengundang tanda-tanya dalam kalangan ahli serta akar umbi parti.

"Saya rasa, tidak pernah UMNO buat satu mesyuarat MKT, tetapi lepas itu tidak buat sidang media (kenyataan rasmi). Ini pertama kali dalam sejarah.

"Sekarang ini, semua orang tidak jelas apa keputusan MKT UMNO, termasuk saya sendiri. Kalau tidak diputuskan sebarang ketetapan, semua orang akan keliru.

"Bagi saya, apa yang berlaku ketika ini disebabkan UMNO berdepan dilema dalam mendepani tindak-tanduk segelintir ahli-ahli Parlimen parti itu sendiri (yang tidak sependapat)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Nazri yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, faktor utama mendorong sesetengah ahli-ahli Parlimen UMNO sukar mematuhi ketetapan dibuat parti disebabkan UMNO kini sangat lemah selepas kalah pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ujarnya, masalah itu ditambah pula dengan segelintir pemimpin utama yang terkait kes mahkamah sehingga menjadi liabiliti UMNO dalam membuat sebarang ketetapan penting.

Artikel Berkaitan:

"Saya ambil contoh, bila MKT buat keputusan, keputusan itu kemudiannya kena ambil kira kes mahkamah (segelintir pemimpin UMNO). Baru boleh dimuktamadkan. Dah jadi liabiliti.

"Dalam soal (menolak kerjasama) Bersatu, saya dan Ahli Parlimen Machang (Datuk Ahmad) Jazlan (Yaakub) sah ikut kehendak akar umbi, tetapi yang lain-lain saya tidak tahu.

"Ahli-ahli Parlimen UMNO sepatutnya kena ikut suara parti selepas MKT parti membuat ketetapan," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas teka-teki di sebalik keputusan mesyuarat MKT UMNO pada Jumaat lalu yang sehingga kini masih belum dijelaskan pucuk kepimpinan parti secara rasmi.

Susulan mesyuarat berkenaan, terdapat beberapa sumber UMNO mendakwa badan tertinggi pari itu sudah membuat ketetapan untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Sinar Harian turut difahamkan bahawa Ahmad Zahid telah menggunakan kuasa prerogatif sebagai Presiden UMNO untuk menolak tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh kerajaan PN bagi mengelakkan berlaku pertembungan tiga penjuru.

Bagaimanapun, Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO menafikan laporan berita berkenaan dan memandang serius dakwaan itu.

Pandangan Mohamad Nazri dipersetujui Timbalan Ketua UMNO Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali yang melihat MKT UMNO dan ahli-ahli Parlimen parti itu bakal memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju parti pada PRU15.

Jelas beliau, sebarang ketetapan diputuskan MKT UMNO perlu disokong ahli-ahli Parlimen parti bagi menunjukkan solidariti kepimpinan dalam parti sentiasa utuh.

"Namun, jika kita kaji balik senario berlaku dalam UMNO baru-baru ini, ada ahli Parlimen menarik sokongan daripada kerajaan PN meskipun dasar parti ketika ini adalah bekerjasama mendukung kerajaan sedia ada.

"Katakanlah MKT UMNO buat keputusan tolak kerjasama Bersatu atas kehendak akar umbi, tetapi ahli-ahli Parlimen tidak mahu. Sekiranya perkara ini berlaku, kedua-dua pihak kena jelaskan takrifan sebenar 'akar umbi' itu merangkumi ahli parti sahaja atau rakyat?" katanya.

Mohd Irwan turut berpandangan senario perbezaan pandangan yang berlaku antara dua kelompok parti itu adalah demi kebaikan UMNO sendiri.

"Bagaimanapun, kedua-dua kumpulan berkenaan kena tengok pandangan dan sentimen rakyat terlebih dahulu, baru boleh buat ketetapan bersama.

"Jangan hanya tengok suara ahli UMNO sahaja kerana takrifan 'akar umbi' sebenarnya lebih luas. Perlu ada hasil kajian secara holistik," katanya