Penantian 20 tahun untuk dapatkan bekalan elektrik berakhir

Saifuddin meluluskan peruntukan RM100,000 bagi membina pencawang elektrik di Kampung Kubang Ikan Bersatu di Cherating.
Saifuddin meluluskan peruntukan RM100,000 bagi membina pencawang elektrik di Kampung Kubang Ikan Bersatu di Cherating.
A
A
A

KUANTAN - Penantian penduduk Kampung Kubang Ikan Bersatu di Cherating selama 20 tahun untuk mendapatkan bekalan elektrik berakhir selepas Pejabat Parlimen Indera Mahkota meluluskan peruntukan RM100,000 untuk membina sebuah pencawang elektrik di kawasan itu.

Pembinaan pencawang itu akan memberi kemudahan bekalan elektrik kepada 25 buah rumah yang menempatkan 80 orang penduduk di kampung tersebut.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, penduduk akan menerima kemudahan elektrik dalam tempoh tiga hingga empat bulan selepas pencawang itu siap dibina.

Menurutnya, pencawang perlu dibina terlebih dahulu memandangkan penempatan itu jauh daripada pencawang elektrik sedia ada.

"Saya kecewa apabila mendapat tahu masih ada penempatan yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti elektrik, air bersih dan jalan yang sempurna walaupun perkampungan itu telah wujud lebih 20 tahun.

"Padahal, perkampungan itu hanya terletak kira-kira tiga kilometer dari kawasan rehat dan rawat (R&R) Chendor. Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mahu menyelesaikan masalah ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pihaknya juga akan mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan penduduk di kampung itu.

"Saya dimaklumkan ketika ini, penduduk di sini juga masih menggunakan air perigi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, pihaknya juga akan menyelesaikan status permohonan tanah berkelompok yang dimohon penduduk.

"Perkara ini akan diselesaikan secara berperingkat-peringkat," katanya.