Usah lakukan perkara tidak diredai ALLAH SWT

Dr Mohd Sukki
Dr Mohd Sukki
A
A
A

SHAH ALAM - Kehidupan seseorang itu menjadi tidak berkat jika terlibat dengan kegiatan yang tidak diredai ALLAH SWT.

Menurut Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman@Ustaz Shauqi, seseorang akan hilang barakah dan rahmat ALLAH SWT sekiranya melakukan aktiviti tidak bermoral seperti ‘sugar baby’ ataupun ‘sugar daddy’.

Menurutnya, seseorang itu sanggup menggadai maruah demi mendapatkan kemewahan dan juga kesenangan hidup tanpa memikirkan kesan negatif jika berbuat demikian.

“Ini merupakan satu perkara yang sangat diharamkan dan berdosa besar.

“Seseorang yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan wang dengan mudah termasuklah dengan aktiviti ‘sugar baby’ ini sebenarnya mereka bukan mendapatkan kebaikan, malah mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana al-Quran Siri ke-92 bertajuk Sugar Baby: Terdesak atau Nak Mewah yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Turut menjadi panelis program, Aktivis Malaysians Against Pornography (MAP), Faris Akmal Faizal.

Program itu dimoderatorkan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan Qari My #QuranTime, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang memperdengarkan bacaan surah al-Maidah ayat 5 dan juga surah al-Nisa’ ayat 25.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri: Fazrul, Faris, Mohd Sukki dan Ahmad Tarmizi pada program Wacana al-Quran Siri 92 bertajuk Sugar Baby: Terdesak atau Nak Mewah yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf pada Selasa.
Dari kiri: Fazrul, Faris, Mohd Sukki dan Ahmad Tarmizi pada program Wacana al-Quran Siri 92 bertajuk Sugar Baby: Terdesak atau Nak Mewah yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, aktiviti tersebut bukan sahaja melibatkan golongan lelaki yang menjadi ‘sugar daddy’, tetapi ada juga golongan wanita yang menjadi ‘sugar mommy’.

“Apabila disentuh oleh ALLAH SWT di dalam al-Quran, ia sebenarnya sudah berlaku bermula pada zaman jahiliah lagi. Cuma caranya sahaja berbeza kerana ketika dahulu kita masih belum mempunyai teknologi moden.

“Walau bagaimanapun, isunya tetap sama iaitu melakukan penzinaan bagi orang yang bukan mahram,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam mencegah segala kemungkaran.

“Kalau kita berdiam diri terhadap apa yang berlaku dan membiarkan maksiat terus bermaharajalela, maka bersedialah untuk mendapat musibah.

“Kita perlu ingat bahawa apabila bala bencana menimpa, ia tidak mengenal siapakah mangsanya,” katanya.