SMK Tanah Merah miliki dewan canggih RM1.2 juta

Aminuddin (kanan) menandatangani plak perasmian Dewan Legasi SMK Tanah Merah, Port Dickson pada Selasa.
Aminuddin (kanan) menandatangani plak perasmian Dewan Legasi SMK Tanah Merah, Port Dickson pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah yang terletak dalam kawasan estet melakar sejarah tersendiri apabila memiliki sebuah dewan canggih bernilai RM1.2 juta.

Dewan tertutup yang dinamakan sebagai Dewan Legasi itu dibina oleh Matrix Concept sebagai salah satu penghargaan dan tanggungjawab sosial korporat bagi membantu sekolah tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya berterima kasih kepada Matrix Concepts kerana berjaya membina sebuah dewan serbaguna di sekolah luar bandar.

"Saya menghargai sokongan Matrix Concepts yang membantu membina dewan sekolah SMK Tanah Merah yang bernilai RM1.2 juta walaupun sekolah itu terletak dalam kawasan estet dan di luar bandar.

"Saya rasa sangat teruja dengan pembinaan dewan tersebut kerana ini adalah sekolah lama saya dan saya mengambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) di sekolah itu pada tahun 1984, banyak jasa sekolah itu kepada saya," katanya.

Dewan Legasi SMK Tanah Merah.
Dewan Legasi SMK Tanah Merah.

Beliau berkata demikian selepas majlis simbolik pelancaran Dewan Legasi SMK Tanah Merah di Wisma Negeri dekat sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Lee Tian Hock, Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts, Ho Kong Soon, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK) Tanah Merah, P Balan serta Pengetua SMK Tanah Merah, Razali Taib.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tian Hock berkata, pembinaan dewan itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga sekolah serta masyarakat sekitar.

Katanya, semoga sekolah ini terus menjadi legasi untuk melahirkan anak-anak yang berjaya.

"Saya percaya Dewan Legasi ini juga akan menjadi kebanggaan pelajar SMK Tanah Merah untuk menggunakannya dengan baik bagi membantu membina kecemerlangan sama ada dalam bidang akademik dan kokurikulum," katanya.

Dewan serbaguna yang mempunyai keluasan 9,300 kaki persegi itu dilengkapi kemudahan gelanggang badminton, pentas, bilik persalinan dan sistem siaraya untuk kegunaan pelbagai aktiviti sekolah termasuk perhimpunan pelajar.