Jasanusa gesa kaji kandungan buku teks Sejarah Tingkatan Empat

Dr Mohd Fared Abdul Ghani
Dr Mohd Fared Abdul Ghani
A
A
A

KOTA BHARU - Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (Jasanusa) menggesa kerajaan melakukan siasatan segera melibatkan beberapa fakta yang dipercayai tidak sesuai dimasukkan ke dalam buku teks Sejarah Tingkatan Empat.

Penasihat Jasanusa Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, antara fakta yang didakwa ada di dalam buku tersebut ialah melibatkan pengganas komunis yang dilihat cuba dijulang sebagai pejuang kemerdekaan.

Menurutnya, sekiranya manipulasi itu benar-benar bertentangan dengan fakta sejarah, isi kandungan buku teks tersebut perlu dipinda segera.

“Pada minggu depan, sekolah mula dibuka dan murid-murid akan terdedah kepada fakta yang tidak betul itu. Selain itu, ia juga berunsur hasutan dan boleh menjejaskan hubungan antara masyarakat majmuk Malaysia.

“Jasanusa menyokong usaha Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) di Shah Alam yang mengangkat isu ini. Ia sebagai amaran awal kepada pihak tertentu yang cuba bermain sentimen perkauman sehingga tahap mengubah fakta sejarah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Pembela membuat satu laporan polis di Shah Alam yang mendakwa buku tersebut diisi dengan elemen komunis sebagai pejuang kemerdekaan, selain mengangkat tokoh gerakan kiri nasionalis Melayu radikal dan mengiktiraf sumbangan mereka dalam perjuangan kemerdekaan.

Selain itu, penerangan mengenai gerakan nasionalis radikal juga dikatakan dimasukkan secara terperinci.

Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, pihaknya juga mendesak Kementerian Pendidikan menyiasat individu-individu yang terlibat dalam penyediaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah bagi menulis kandungan buku teks tersebut khususnya penulis dan editor buku berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, sekiranya tiada keputusan segera berhubung semakan fakta sejarah buku tersebut dalam masa yang terdekat, kerajaan wajar mengharamkan sahaja buku itu daripada digunakan dalam sesi persekolahan kali ini.

“Ia pendekatan paling rasional bagi mengelakkan generasi muda Malaysia daripada tertipu dengan fakta palsu sejarah kemerdekaan negara,” katanya.