X

Kindly register in order to view this article
!

Keluarga bimbang tidak mampu biayai pembedahan

Sayyid Uwais Al-Qarni menerima kunjungan ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat di kediaman datuk dan neneknya di Kampung Batu Hampar, Manir, Kuala Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Keluarga bayi yang mengalami penyakit saraf, lumpuh serta otak di luar tempurung kepala bimbang tidak mampu membiayai kos pembedahan.

Penyakit dialami Sayyid Uwais Al-Qarni Lekman atau digelar Adam yang kini berusia 41 hari dijangka akan dirujuk di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

Bayi yang disahkan mengalami penyakit saraf, 'myelomeningocele with encephalocoele' itu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat di kediaman datuk dan neneknya di Kampung Batu Hampar, Manir di sini petang Selasa.

Menurut Rozi, beliau akan berhubung dengan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk menyuarakan penyakit dialami bayi itu.

"Saya percaya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiada kekangan untuk membantu bayi ini kerana saya difahamkan penyakit dialaminya dalam kawalan dan pemantauan pihak hospital," katanya.

Dalam pada itu, Rozi berkata, beliau menziarahi keluarga itu bagi memberi semangat kepada kedua ibu bapa bayi berkenaan selain menyampaikan sumbangan bantuan awal.

Menurutnya, beliau difahamkan penderitaan dialami bayi tersebut mendapat perhatian banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan.

Sementara itu, ibu Sayyid Uwais Al-Qarni, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29 berkata, beliau bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu.

"Saya bersyukur kerana penderitaan dialami bayi saya mendapat perhatian. Saya harap ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung memandangkan suami saya hanya bekerja kampung dan pendapatan tidak menentu," katanya.

Sayyid Uwais Al-Qarni atau digelar Adam menghidapi penyakit saraf, 'myelomeningocele with encephalocoele' dan telah menjalani pembedahan pada saraf tunjang seawal usia tujuh hari.
Sayyid Uwais Al-Qarni atau digelar Adam menghidapi penyakit saraf, 'myelomeningocele with encephalocoele' dan telah menjalani pembedahan pada saraf tunjang seawal usia tujuh hari.

Katanya, anaknya itu dijangka akan dirujuk ke HUSM bulan depan bagi masalah kedudukan otak di luar tempurung kepala.

Fatin Hazlin Dahlia berkata, setakat ini kos sebenar pembedahan kepala anaknya yang berusia 41 hari itu belum diketahui.

"Saya ada temujanji dengan doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 1 Mac ini, mungkin dari situ saya akan dimaklumkan mengenai kos pembedahan anak saya.

"Sebelum ini saya hanya diberitahu kos pembedahan agak tinggi kerana ia melibatkan pembedahan besar. Saya bimbang kami tidak mampu membiayai pembedahan itu," luahnya.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan bayi lelaki dilahirkan dengan berat 2.48 kilogram di HSNZ pada 13 Januari lalu disahkan mengalami penyakit 'myelomeningocele with encephalocoele' (sakit saraf), lumpuh bahagian pinggang ke kaki dengan kedudukan otak di luar tempurung kepala.

Mereka yang ingin membantu bagi meringankan bebanan keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor akaun 1100141100012525 atau menghubungi Fatin Hazlin Dahlia di talian 01163727869 atau 0116 3727 869.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!