'Hidup gelandangan, tak mahu susahkan anak-anak'

Keadaan di Laman Tun Sri Lanang menjadi lokasi agihan makanan kepada gelandangan di Johor Bahru.
Keadaan di Laman Tun Sri Lanang menjadi lokasi agihan makanan kepada gelandangan di Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Masalah rumah tangga menyebabkan seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Akob hidup gelandangan di bandar raya ini sejak lebih sebulan lalu.

Pak Akob, 61, yang berasal dari Bagan Serai, Perak berkata, setiap hari dia akan mengambil makanan selain tidur di bawah khemah yang disediakan di Laman Tun Sri Lanang di pusat bandar raya ini.

“Saya bukan sebatang kara sebaliknya masih mempunyai tiga anak iaitu dua perempuan dan seorang lelaki berusia 20, 32 dan 33 tahun. Anak bongsu masih belajar di kolej. Mereka tidak tahu saya jadi gelandangan di Bandaraya Johor Bahru.

“Anak saya pernah pelawa untuk tinggal bersama-samanya tetapi saya menolak kerana tidak mahu menyusahkan mereka. Mereka menyangka saya masih bekerja di Singapura,” katanya ditemui di laman tersebut.

Kata Pak Akob, sebelum ini dia bekerja di Singapura sebagai tukang masak dengan gaji lebih S$2,000 sebulan tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, dia diberhentikan kerja.

Pak Akob yang menjalani pembedahan ketumbuhan otak pada tahun 2019 mengakui berasa tenang hidup bergelandangan walaupun hanya tidur di bawah khemah.

Lelaki itu berkata, dia juga berhasrat mencari kerja di bandar raya ini atau pulang ke kampung mengusahakan kedai makanan sebaik PKP tamat.

Sulaiman, 42, dari Kota Marudu, Sabah pula berkata, dia tidak pernah terbayang menjadi gelandangan di bandar raya ini kerana pernah memiliki kerja yang stabil di Malaysia dan Singapura.

Artikel Berkaitan:

“Saya keluar dari kampung pada tahun 2009 untuk merantau dan mencari kerja di Singapura.

“Pada tahun 2015, saya berhenti kerja di Singapura dan bekerja di Johor Bahru bagi menyambung hidup. Saya tidak berhasrat pulang ke kampung kerana tiada kerja.

“Saya akan datang ke Laman Tun Sri Lanang di bandar raya ini dua kali setiap hari untuk mengambil makanan.

“Kalau boleh saya tidak mahu jadi gelandangan tetapi saya tiada pilihan lain,” katanya.