Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang mula Januari 2022

Projek Pusat Transit Gelandangan di Georgetown, Pulau Pinang menelan belanja RM4.4 juta.
Projek Pusat Transit Gelandangan di Georgetown, Pulau Pinang menelan belanja RM4.4 juta.
A
A
A

GEORGETOWN- [LAPORAN KHAS] Pusat Transit Gelandangan yang merupakan inisiatif kerajaan Pulau Pinang dalam menangani isu gelandangan di negeri ini dijangka siap pada 6 Oktober ini sebelum beroperasi sepenuhnya pada Januari 2022.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, mengikut perancangan awal, projek bernilai RM4.4 juta dijangka siap pada Ogos ini.

Bagaimanapun, kata beliau, ia terpaksa dilanjutkan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula Januari lalu.

Pada waktu ini, katanya, kerja pembinaan sedang berjalan dan hanya 45 peratus siap.

“Kerja pembinaan berjalan seperti yang dijadualkan, cuma ia agak lambat selepas pelaksanaan PKP 2.0 sejak Januari lalu.

“Sepatutnya ia siap pada Ogos tahun ini, namun disebabkan PKP, pembinaan dijangka siap pada Oktober sebelum dibuka untuk didiami pada Januari 2022,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pusat Transit Gelandangan itu dilaksanakan berdasarkan program ‘Empowering The Streets Citizens’ yang dicadangkan pada tahun 2016 oleh Boon Poh.

Artikel Berkaitan:

Tung Seang (kiri) mendengar penjelasan mengenai projek Pusat Transit Gelendangan di Pulau Pinang ketika melawat ke tapak projek berkenaan pada Selasa.
Tung Seang (kiri) mendengar penjelasan mengenai projek Pusat Transit Gelendangan di Pulau Pinang ketika melawat ke tapak projek berkenaan pada Selasa.

Jelasnya, ia bagi membendung dan menangani isu gelandangan yang dilihat semakin berleluasa di Pulau Pinang.

Projek pertama yang berkonsepkan Triple Net Zero itu milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan akan dibina di tapak berkeluasan 1,370 meter persegi di Jalan CY Choy di sini.

Projek perintis itu dilihat mampu membendung masalah gelandangan berkeliaran yang sering dikaitkan dengan isu kebersihan, keselamatan dan masalah sosial lain.

Ia boleh menjejaskan imej Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, sepanjang tahun 2019, sebanyak 458 operasi pengemis atau kutu rayau dijalankan iaitu 152 di daerah Timur Laut, selain Barat Daya (103), Seberang Perai Utara (89), Seberang Perai Tengah (47) dan Seberang Perai Selatan (67).

Selain itu, sebanyak 592 pengemis atau pelesir warganegara dan bukan warganegara berjaya diselamatkan sepanjang tahun 2019.