'Perkembangan terbaharu TH Khamis ini'

Mujahid ketika bercakap dalam program Bicara Minda di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI
A
A

SHAH ALAM - Penstrukturan semula Tabung Haji (TH), diyakini akan mengembalikan institusi itu ke landasan asal iaitu untuk memberi kebaikan kepada mereka yang mahu menunaikan ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkata, penstrukturan yang dilakukan sudah semakin membuahkan hasil.

"Insya-ALLAH Khamis ini kita akan membuat pengumuman ," katanya dalam program Bicara Minda Sinar Harian, di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mujahid mengakui TH merupakan suatu amanah yang cukup besar buat dirinya.

"Sudah tentu amanah besar saya ketika pegang jawatan ini adalah melihat semua agensi di bawah saya dah salah satu yang saya prihatin adalah TH.

ARTIKEL BERKAITAN: Mujahid bimbang 'permainan' BN, Pas

"Sebab kita ada 9.7 juta pendeposit, 3 juta daftar haji setiap tahun ," katanya.

TH sebelum ini terpalit dengan kontroversi apabila satu laporan polis dibuat pada November tahun lalu berhubung salah guna kuasa dilakukan bekas pengerusi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan institusi itu.

Mujahid berkata, pendedahan skandal yang berlaku dalam TH bukan dibuat secara spontan tetapi hasil perancangan rapi bagi memastikan kepentingan umat Islam terus terjaga.