Kenangan kamera filem gulung

Pada masa itu antara jenama kamera yang popular ialah Nikon, Canon, Pentax, Minolta, Konica, Agfa, Yashica, Fuji dan puluhan lagi. Gambar hiasan 123rf.
Pada masa itu antara jenama kamera yang popular ialah Nikon, Canon, Pentax, Minolta, Konica, Agfa, Yashica, Fuji dan puluhan lagi. Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

“SENYUM...senyum...satu...dua...tiga...klik!” Antara impian saya yang mustahil tercapai adalah untuk berjumpa dengan orang yang mencipta frasa di atas

Frasa yang menjadi ‘serapah keramat’ bagi hampir setiap sesi fotografi pada masa dahulu sehinggalah sekarang.

Percayalah. Pada masa itu, kalau kita sedang tidur sekalipun, tiba-tiba terdengar ayat itu, kita secara automatik akan tahu bahawa ada orang sedang merakamkan gambar orang lain. Tidak mustahil kita akan bingkas bangun, berlari keluar untuk tumpang bergambar!

Ya, bermain dengan kamera merupakan kegilaan pada masa dahulu. Maklumlah barang rare. Kadangkala dalam sebuah kampung hendak cari seorang yang ada kamera pun susah. Yang banyak cuma kamera mainan yang dijual di kedai runcit.

Kamera ini istimewa. Isi dengan air, lepas itu tekan punatnya, halakan ke muka atau ke badan kawan. Jika bernasib baik, akan menjadi gurau senda yang menarik. Jika nasib kurang baik, balik nanti muka bengkak bengkil sebab ditumbuk rakan.

Setahun sekali dapat bergambar ketika hari raya merupakan momen indah yang tidak terlupa. Di kampung, untuk keluarga yang berada dapatlah mereka berfoto keluarga di kedai gambar di pekan. Antara yang saya ingat ialah kedai Bee Dol dan Wah Kong.

Kamera pertama saya ialah jenis Konica. Sebenarnya ia kamera keluarga, saya cuma tumpang guna. Kameranya ringkas, jenis automatik. Berbeza dengan kamera SLR yang memerlukan seseorang itu mahir dengan focus, aparture dan speed, kamera automatik memudahkan kerja penggunanya. Tidak perlu pening hendak set aparture sekian, speed sekian untuk filem yang ASA atau ISOnya sekian. Yang perlu cuma halakan lensa, laraskan sampai puas hati dan klik!

Tetapi jangan haraplah hendak tengok hasilnya sejurus selepas itu. Paling cepat anda kena tunggu tiga hari. Itu pun kalau rumah berdekatan kedai gambar dan taukenya pula biasa dengan anda. Jika tidak bersedialah untuk menunggu seminggu atau lebih!

Artikel Berkaitan:

Sedihnya kamera itu hilang, apabila rumah dimasuki pencuri setelah tiga tahun memiliki kamera tersebut.

Pada masa itu, hanya ada sejenis kamera sahaja yang boleh menghasilkan gambar segera iaitu kamera polaroid. Tetapi itu bukan kamera untuk budak kampung macam saya. Hanya anak orang have-have boleh memilikinya. Biasanya anak guru besar dan pegawai kerajaan division A.

Budak-budak sekarang tidak biasa dengan beberapa istilah yang sebutkan di atas; aparture, speed, filem, ASA/ISO dan seumpamanya. Itu belum lagi termasuk terma-terma lain seperti cuci gambar, chemical, bilik gelap dan banyak lagi yang mereka tidak biasa dengar.

Namun pada masa dahulu semua itu merupakan apa yang perlu dikenali dan dihafal peranan serta fungsinya oleh setiap peminat fotografi tegar.

Dengan perkataan lain untuk menjadi pengguna kamera yang mahir pada masa itu bukan kerja mudah. Bukan sahaja ada buku panduan dan kelas, tetapi juga pengajian sehingga ke peringkat diploma dan seterusnya ijazah.

Kos

Kos bermain dengan kamera juga bukan calang-calang. Sebuah kamera yang sederhana harga badannya sahaja mencecah ratusan ringgit. Itu belum termasuk lensa – dan seorang jurugambar yang serius selalunya perlukan lebih daripada satu lensa serta aksesori-aksesori lain. Akhirnya campur tolak sama jugalah dengan harga seekor lembu bunting.

Pada masa itu antara jenama kamera yang popular ialah Nikon, Canon, Pentax, Minolta, Konica, Agfa, Yashica, Fuji dan puluhan lagi. Di peringkat yang lebih tinggi ada Leica, yang harga set ‘biase-biase’ pun mencecah belasan ribu ringgit.

Kos sebenar dalam dunia fotografi ketika itu sebenarnya bukan terletak pada kamera. Kamera boleh pinjam, boleh sewa sebab ada kedai menawarkan perkhidmatan itu, malah kalau jenis tak takut dosa pahala, boleh dicuri.

Namun kamera sahaja, jika tiada filem dimasukkan ke dalamnya tidak akan berfungsi. Filem ini bukan murah, satu gulung beringgit-ringgit. Filem warna lain harga, begitu juga filem hitam putih dan filem untuk slide. Semuanya berbeza-beza.

Satu gulung filem mungkin boleh digunakan untuk 12 atau 24 atau 36 kali rakam. Kalau terbuka penutup tempat filem disimpan bermakna akan rosaklah seluruh filem. Hanguslah duit.

Selepas filem habis digunakan, ia perlu dihantar ke kedai gambar untuk dicuci. Di sini sekali lagi kena keluarkan duit. Jadi atau tidak gambar yang dirakam, tetap kena bayar. Kalau sekeping caj cucinya 30 sen, bayangkanlah jika 36 keping. Kalau slide, kos cucinya lebih tinggi.

Disebabkan itu, maka pada masa dahulu timbul tanggapan hanya orang kaya sahaja yang bermain dengan kamera. Tetapi bagi yang pandai berniaga, kamera boleh menjadi sumber rezeki. Ada kenalan saya, seorang guru kerjanya merakamkan gambar murid dan guru di sekolahnya, kemudian menjualkan gambar itu lengkap dengan albumnya sekali kepada mereka. Berlegarlah album foto ke seluruh kelas, dan mereka yang berminat akan menempah foto yang mereka minati.

Dalam UMNO pula dahulu sentiasa ada orang yang kerjanya merakamkan gambar yang berpotensi dijadikan pelanggan dan setelah gambar itu dicuci dia akan memaksa anda dengan bahasa yang lunak untuk membelinya. Foto terus dicuci dan masuk sampul. Jual dalam paksa.

Di zoo, muzium, Tugu Kebangsaan dan tempat-tempat tumpuan lain, termasuk pantai perkelahan pada masa dahulu sentiasa ada jurugambar yang menawarkan perkhidmatan merakam gambar anda dan rombongan. Bayar dahulu, balik nanti, selepas seminggu dua, gambar pun dikirimkan.

Sekarang ini hampir tiada siapa lagi yang boleh mencari makan dengan cara itu. Malah, kedai gambar pun kebanyakannya gulung tikar. Sebabnya kamera telah melalui evolusi luar biasa, daripada keadaan asalnya yang begitu complicated kepada suatu keadaan yang sangat ringkas.

Malah, ia telah hilang jasad asalnya kerana digabungkan dengan telefon pintar yang dengan pintarnya juga telah menakluki jiwa raga kita sehingga kita terasa tidak boleh hidup tanpanya.

Sesiapa sahaja boleh menggunakan kamera sekarang ini. Tidak perlu beria-ia pasang tripod atau melaraskan lensa. Hala ke mana sahaja, hatta sambil berlari kemudian snaplah sesuka hati. Silap tak apa, rosak tak mengapa. Padamkan, habis cerita. Tiada sebarang kos tambahan.

Sebab mudahnya menggunakan kamera sekarang inilah ramai orang gila ber‘selfie’. Cuba layan kegilaan itu dengan kamera analog yang menggunakan filem, duit sebukit pun boleh habis.

Secara umumnya sekarang ini kamera sudah tidak menjadi simbol status. Kalau hendak berlawan pun mungkin dari segi jenama telefon yang mendokong kamera itu atau resolusi imejnya. Tetapi itu pun selalunya orang tidak peduli. Setakat hendak syok sendiri bolehlah, di depan kawan-kawan puji, di belakang mereka gelak dua tiga hari.

Fungsi kamera juga kini sudah amat pelbagai. Bukan setakat untuk merakam foto, tetapi juga merakamkan video. Sudahlah begitu dilengkapi pula dengan kemudahan menyunting sedangkan dahulu jika hendak sunting gambar kaku atau video anda perlu upah orang lain ataupun menyewa peralatan khusus.

Kita tidak tahu esok lusa bagaimana bentuk kamera yang akan muncul – dan tentunya akan terus melekap pada telefon pintar. Mungkinkah akan ada kamera digital yang kelajuannya mampu merakamkan imej hantu, puaka dan segala gelombang di sekeliling kita? Atau yang boleh merakamkan imej kuman sehingga koronavirus.

Apa pun tidak mengapa, asalkan jangan ada kamera yang boleh ambil gambar imej di sebalik dinding. Kasihanlah pada kaum wanita kerana mereka tentu akan jadi sasaran utamanya. #dush!

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia