Erdogan bendung penularan LGBT di Turki

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. - Foto AFP
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. - Foto AFP
A
A
A

ISTANBUL - Pentadbiran Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan kini berusaha untuk membendung pengaruh golongan lesbian, bikseksual, gay dan transgender (LBGT) daripada berkembang dengan meluas di negara tersebut.

Kerajaan negara itu juga sebelum ini bertindak mengharamkan perarakan LGBT selepas ia telah menarik kehadiran sehingga seramai 100,000 orang pada tahun 2014 ketika ia dianjurkan di Istanbul.

Pelbagai pertubuhan seperti Alparent Hearths iaitu sebuah pertubuhan golongan muda yang setia kepada Parti Kesatuan Besar (BBP) pernah mengancam untuk menghalang perarakan LGBT jika ia dibenarkan diadakan di Istanbul pada tahun 2017.

Namun, pihak berkuasa di bandar raya itu bertindak mengharamkan perarakan tersebut selepas mengambil kira keselamatan rakyat terutama para peserta dan pelancong yang berada di lokasi perarakan tersebut.

Perarakan LGBT itu sebelum ini diadakan di Istanbul sejak tahun 1993 sebelum ia diharamkan pada tahun 2015 atas alasan keselamatan.

Pada tahun 2015, ia sepatutnya diadakan pada bulan Ramadan dengan pihak penganjurnya menyatakan perarakan tersebut menggalakkan pelancongan apabila berjaya menarik kehadiran ribuan orang.

Semasa perarakan itu dibenarkan ia merupakan perhimpunan untuk golongan LGBT yang terbesar pernah diadakan di negara-negara Muslim.

Ia turut menganjurkan pelbagai acara antaranya ialah bengkel, perbincangan, perhimpunan sosial dan kursus seni.

Artikel Berkaitan:

Bandar raya Istanbul pernah menjadi lokasi perarakan untuk golongan lesbian, bikseksual, gay dan transgender sejak tahun 1993 sebelum diharamkan pada tahun 2015. - Foto AFP
Bandar raya Istanbul pernah menjadi lokasi perarakan untuk golongan lesbian, bikseksual, gay dan transgender sejak tahun 1993 sebelum diharamkan pada tahun 2015. - Foto AFP

Bagaimanapun, pada bulan ini, Erdogan dilaporkan membidas golongan muda LGBT dan memuji sayap belia Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) yang memerintah Turki kerana tidak mengikut kelakuan golongan songsang tersebut.

Beliau merujuk kepada kejadian empat pelajar Universiti Bogazici, Istanbul ditangkap pada bulan lalu kerana disyaki menghasilkan satu kerja seni yang dilaporkan menggabungkan simbol-simbol LGBT dengan imej sebuah lokasi Islam.

Menurut portal berita BBC, pelajar tersebut ditangkap atas dakwaan menimbulkan kebencian selepas mereka menggantung kerja seni itu di hadapan pejabat rektor baharu Universiti Bogazici.

Pejabat Gabenor Istanbul yang mengulas mengenai kejadian itu berkata, hasil kerja seni itu merupakan satu serangan buruk yang mempersendakan kepercayaan agama.

Hasil kerja seni itu yang turut memaparkan bendera LGBT dilakukan sebagai tanda protes pelantikan Profesor Melih Bulu sebagai rektor universiti tersebut kerana beberapa aktivis mendakwa beliau mempunyai hubungan rapat degan parti AK.

Parti AK pula mempunyai latar belakang keislaman yang kuat dengan Erdogan menjadi pemimpin parti tersebut manakala Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu menggelarkan empat suspek pelajar itu sebagai 'golongan LGBT yang menyimpang'.

Beberapa tunjuk perasaan kemudian diadakan di universiti tersebut berikutan ucapan Erdogan yang membidas golongan belia LGBT manakala seramai 159 pelajar ditahan kerana memprotes pelantikan rektor universiti tersebut pada awal bulan ini.

Bagaimanapun, berikutan hasil kerja seni yang kontroversi itu menyebabkan kelab LGBT di Universiti Bogazici ditutup.

Sebenarnya, homoseks tidak haram di sisi undang-undang di Turki tetapi komuniti golongan tersebut dilaporkan semakin berkembang di negara itu sejak beberapa tahun lalu.

Pada tahun lalu, syarikat penerbitan Amerika Syarikat (AS), Netflix membatalkan penerbitan satu siri drama yang memaparkan watak gay selepas gagal untuk mendapatkan kebenaran daripada kerajaan negara tersebut.

Dalam pada itu, pada bulan April tahun lalu, Erdogan mempertahankan kenyataan seorang ulama Turki yang menyatakan bahawa homoseksualiti menyebabkan berlakunya penyakit.

Pada bulan Jun tahun lalu pula, penjual barangan sukan Perancis, Decathlon menjadi sasaran kempen boikot oleh media Turki selepas ia menyatakan solidariti dengan komuniti LGBT. - Agensi