Mayat warga emas ditemukan dengan kesan cedera di leher

Suspek berusia 30 an berjaya ditahan selepas dia terlibat dalam satu kemalangan di kawasan Taman Wira Mergong.
Suspek berusia 30 an berjaya ditahan selepas dia terlibat dalam satu kemalangan di kawasan Taman Wira Mergong.
A
A
A

ALOR SETAR - Mayat seorang lelaki warga emas dipercayai dibunuh ditemukan di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat mangsa yang berusia 73 tahun itu dijumpai dengan kesan cedera parah di leher kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya, sebelum kejadian polis menerima maklumat berlaku pergaduhan antara dua lelaki berhampiran Lebuhraya Sultan Abdul Halim pada jam 4.30 petang.

"Tidak lama kemudian, polis menerima satu lagi maklumat daripada orang awam yang memaklumkan menjumpai satu mayat di kawasan sekolah berkenaan.

"Siasatan mendapati mayat berkenaan adalah salah seorang lelaki yang terlibat dalam pergaduhan sebelum itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Selasa.

Menurutnya, mangsa yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dipercayai telah mati sebelum dibuang di kawasan berkenaan.

"Selepas pergaduhan berlaku, suspek dipercayai membawa mangsa masuk ke dalam kereta jenis Proton Saga miliknya dan siasatan sama ada mangsa mengenali suspek dan kaitan kes culik atau tidak masih dijalankan," katanya.

Ahmad Shukri berkata, suspek yang berusia 30an itu dipercayai mempunyai masalah mental dan berjaya ditahan selepas dia terlibat dalam satu kemalangan di kawasan Taman Wira Mergong.

Artikel Berkaitan:

"Senjata yang digunakan iaitu sebilah parang turut dijumpai di dalam kereta milik suspek dan motif kejadian masih dalam siasatan.

"Suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau kini ditahan di Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,"katanya.