11 penduduk Selayang lega, hukuman langgar SOP tidak ditambah

William (lima dari kanan) membantu 11 penduduk Selayang bagi kes rayuan yang difailkan oleh pihak pendakwaan ke atas mereka.
William (lima dari kanan) membantu 11 penduduk Selayang bagi kes rayuan yang difailkan oleh pihak pendakwaan ke atas mereka.
A
A
A

SELAYANG - Seramai 11 pelaku yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Oktober lalu menarik nafas lega selepas pihak pendakwaan membatalkan rayuan untuk meningkatkan denda ke atas mereka.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, kesemua individu dari Selayang itu telah didenda sebanyak RM750 di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan selepas memasuki dan menggunakan Kolam Air Panas Selayang.

Menurutnya, kesemua mereka juga turut didenda antara RM500 hingga RM1,000 mengikut Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi kesalahan kedua.

Bagaimanapun katanya, pihak pendakwaan memfailkan rayuan untuk meningkatkan hukuman ke atas 11 orang penduduk tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Disebabkan itu, penduduk telah berjumpa dengan saya untuk meminta bantuan dari sudut perundangan.

"Justeru, pejabat saya telah membantu penduduk-penduduk tersebut membuat representasi kepada pendakwa raya supaya memberi pertimbangan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

William (kanan) bersama 11 penduduk yang didenda kerana melanggar SOP pada Oktober lalu.
William (kanan) bersama 11 penduduk yang didenda kerana melanggar SOP pada Oktober lalu.

Beliau berkata, jumlah hukuman denda antara RM1,250 hingga RM1,750 kepada penduduk itu selain tahanan reman selama satu hingga tiga hari sudah cukup untuk memberi pengajaran kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula, kesemua penduduk tersebut mempunyai latar belakang dalam kalangan B40.

"Mereka ke kolam air panas bagi tujuan mendapatkan rawatan tradisional dan bukan untuk melakukan sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang," katanya.

Selain itu katanya, pihaknya juga telah berjumpa dengan pegawai di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk menerangkan latar belakang kes ini supaya mereka dapat memberi pertimbangan sewajarnya berkenaan dengan kes tersebut.

Menurutnya, pihak pendakwaan bersetuju bahawa kes rayuan tersebut ditarik balik setelah mempertimbangkan dengan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam surat representasi yang dikemukakan.