Jepun lantik Menteri Kesunyian

Sakamoto diberi tanggungjawab besar untuk menggalas tugas sebagai Menteri Kesunyian. - Foto: Agensi
Sakamoto diberi tanggungjawab besar untuk menggalas tugas sebagai Menteri Kesunyian. - Foto: Agensi
A
A
A

TOKYO - Jepun melantik Menteri Kesunyian untuk mengurangkan kesepian dan pengasingan sosial dalam kalangan penduduk negara itu sebagai usaha mengurangkan kadar bunuh diri.

Tetsushi Sakamoto yang bertanggungjawab menangani kadar kelahiran yang semakin menurun dilantik Perdana Menteri, Yoshihide Suga pada awal bulan lalu untuk mengawasi dasar kerajaan berhubung isu tersebut yang semakin mencetuskan kebimbangan.

"Golongan wanita lebih terkesan berbanding lelaki dan jumlah individu yang membunuh diri juga menunjukkan trend peningkatan. Saya berharap anda dapat mengenal pasti punca masalah itu dan mempromosikan langkah dasar secara komprehensif," ujarnya ketika mengumumkan peranan baharu itu pada 12 Februari lalu.

Difahamkan, masalah kesunyian telah lama menghimpit kebanyakan penduduk dan sering dibincangkan dengan 'hikikomori' atau orang yang hidup dalam pengasingan sosial yang ekstrem.

Beberapa penyelesaian telah dibuat untuk mengatasi masalah itu malah jurutera tempatan turut mencipta robot yang dapat memegang tangan seseorang yang berasa kesunyian.

Ketika pandemik Covid-19 melanda pada 2020, Jepun menyaksikan kadar peningkatan bunuh diri buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun.

Pada Oktober lalu, jumlah individu yang membunuh diri adalah lebih tinggi berbanding rekod kematian akibat wabak itu.

Kajian juga menunjukkan kesunyian telah dikaitkan dengan risiko masalah kesihatan yang serius seperti penyakit jantung, demensia dan gangguan pemakanan. - Agensi

Artikel Berkaitan: