X

Kindly register in order to view this article
!

'Setahun Langkah Sheraton, tiada pencapaian boleh dibanggakan PN'

Mohd Shafie Apdal
A
A

KOTA KINABALU - Hari ini genap setahun ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan oleh pemerintahan yang didominasi oleh pimpinan parti Bersatu, UMNO dan Pas yang dijenamakan sebagai Perikatan Nasional (PN).

Dalam kenyataan bersama Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mereka menyifatkan tiada agenda, misi dan pencapaian yang boleh dibanggakan serta memberi manfaat kepada rakyat Malaysia menerusi pemerintahan kerajaan 'Melayu-Islam' di bawah PN.

"Pemerintahan kerajaan 'Melayu-Islam' ini menyaksikan jumlah pengangguran rakyat terus meningkat selain turut mengabaikan janji pemberian komputer riba kepada 150,000 murid berjumlah RM150 juta seperti yang dihebahkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 sehingga hari ini.

"Tiada rancangan pemulihan ekonomi yang berjaya dibuat sehingga hari ini. Kegagalan menunaikan janji memaksa ibu bapa daripada golongan B40 mencari alternatif lain untuk mendapatkan peranti bagi keperluan pembelajaran anak-anak mereka termasuk mendapatkannya daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang," kata kenyataan itu pada Selasa.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan ‘Melayu-Islam’ juga sering mencanangkan bahawa mereka serius dalam melawan Covid-19 tetapi peruntukan kepada kawasan Parlimen pembangkang dipotong seolah-olah mahu menyukarkan misi setiap Parlimen pembangkang untuk membantu rakyat yang susah, lapar dan sakit.

"Akhirnya, rakyat pula yang menjadi mangsa hukuman politik kerajaan ‘Melayu-Islam’ PN.

"Apa pula jawapan kerajaan ‘Melayu-Islam’ apabila lebih 30,000 syarikat di negara ini telah menutup operasi mereka sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac tahun lalu? Malah lebih 9,000 daripada jumlah itu merupakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Penutupan beberapa kilang industri yang berpindah ke negara jiran hanya mengesahkan bahawa kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas dalam kerajaan PN tidak lebih dari sekadar kosmetik dan jenama sahaja yang akhirnya tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat, " katanya.

Kenyataan itu berkata, ketiga-tiga parti yang membentuk kerajaan PN sepatutnya mampu menarik lebih banyak pelaburan baharu daripada luar kerana gabungan yang dibentuk atas nama bangsa dan agama ini kerap kali mendakwa mereka adalah sebuah kerajaan yang stabil dan mempunyai keabsahan.

"Kestabilan tersebut seharusnya diterjemahkan dalam bentuk hasil pelaburan dan kegiatan ekonomi yang memberi keuntungan kepada rakyat. Malangnya ia tidak berlaku sehingga hari ini.

"Sebaliknya, kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini terlalu sibuk menyoal kesetiaan yang diikrarkan, sentiasa menyuarakan rasa sangsi dan tidak lagi mempercayai antara satu sama lain.

"Selepas beberapa siri pertukaran kepimpinan kerajaan negeri melalui undi di dalam Dewan Negeri, lompat parti dan pilihan raya negeri dalam tempoh PKP, ikatan ketiga-tiga parti tersebut menunggu masa sahaja untuk terlerai. Kerajaan yang dibina atas nama pengkhianatan akan runtuh melalui pengkhianatan juga," katanya.

Ahli Parlimen Semporna dan juga ahli Parlimen Muar itu turut berkata, sempena mengingati tragedi Langkah Sheraton yang kini genap setahun, ahli politik harus ingat bahawa kuasa dan pangkat yang dikejar bukan kunci kepada kejayaan sebuah negara.

"Lebih penting dan utama adalah iltizam politik dan kesungguhan menjaga rakyat. Sebuah kerajaan yang telus, bersih dan adil adalah kerajaan yang menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk mentadbir dengan baik untuk rakyat.

"Utama bukan jenama agama dan bangsa tetapi komitmen melindungi negara. Fokus dan cabaran kami adalah untuk terus mengangkat suara rakyat yang susah, lapar dan sakit," katanya.

Kata kenyataan itu lagi, biar pun kuasa sudah bertukar tangan, ia tidak boleh menjadi alasan untuk tidak berbuat apa-apa dan menunding jari seperti yang dibuat kerajaan hari ini.

"Langkah Sheraton tidak akan sesekali memadamkan ikhtiar dan usaha yang kami bina untuk sebuah negara yang sejahtera.

"Rakyat adalah tuan. Ahli politik harus ingat bahawa kita hanya wakil yang harus menurut kehendak dan kemahuan rakyat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!