PBB ulang kesediaan jadi pengantara krisis Venezuela

Presiden Nicolas Maduro (tengah) menghadiri latihan ketenteraan di Fort Guaicaipuro, Venezuela kelmarin. - Foto AFP
Presiden Nicolas Maduro (tengah) menghadiri latihan ketenteraan di Fort Guaicaipuro, Venezuela kelmarin. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengulangi kesediaan badan dunia itu untuk menjadi perantara rundingan antara Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan pemimpin pembangkang Juan Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden negara Amerika Selatan itu.

Guterres, mengulangi tawaran tersebut ketika pertemuan bersama Menteri Luar Venezuela Jorge Arreaza di New York,semalam.

"Setiausaha Agung mengesahkan tawaran beliau masih terbuka untuk mengadakan rundingan serius bagi membantu negara itu keluar daripada kemelut politik," kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric.

Guterres berkata, kerajaan dan pembangkang di Venezuela harus meminta bantuannya terlebih dahulu, sebelum beliau boleh menyentuh krisis yang telah melanda negara berkenaan sejak bulan lalu, ekoran tindakan berani Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai pengganti presiden.

Guaido turut mendapat sokongan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dibawah pimpinan Donald Trump yang pada bila-bila masa bersedia mengerahkan tenteranya ke Venezuela bagi menggulingkan kerajaan Maduro.

Selain itu, AS turut mengemukakan draf resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), menggesa pilihan raya presiden diadakan lebih awal, suatu langkah yang dijangka mencetuskan bantahan dari Rusia dan China yang menolak sebarang campur tangan luar di Venezuela.

Dalam pada itu, pasukan tentera Venezuela yang setia kepada Maduro kini giat menjalankan latihan ketenteraan di seluruh negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan. - BBC

ARTIKEL BERKAITAN: AS bentang resolusi baharu desak pilihan raya Venezuela

Artikel Berkaitan: