Fasa pertama bayaran bantuan Prihatin Rakyat bermula esok

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 8.45 juta penerima akan menerima pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) secara berperingkat bermula Rabu melibatkan peruntukan berjumlah RM1.93 bilion, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, ia membabitkan bayaran kepada 4.4 juta penerima kategori isi rumah iaitu sebanyak RM300 setiap penerima dan 4.05 juta yang akan menerima RM150 setiap seorang untuk kategori individu bujang.

“Bagi isi rumah dan individu bujang, bayaran akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank bermula esok, manakala bayaran akan disalurkan melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mereka yang tidak memiliki akaun bank bermula Khamis.

“Penerima bantuan di Sabah dan Sarawak yang tidak memiliki akaun bank pula akan mula menerima bayaran bermula 1 Mac hingga 1 April ini di lokasi yang akan diumumkan kelak bersekali dengan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0),” kata Tengku Zafrul menerusi kenyataan pada Selasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) pada 18 Januari lepas mengumumkan bahawa pembayaran fasa pertama BPR dipercepatkan kepada penghujung Februari ini.

Tengku Zafrul berkata, pembayaran fasa pertama itu dibuat kepada penerima Bantuan Sara Hidup 2020 dan BPN B40 yang telah diluluskan sebelum ini.

Katanya, ia dipercepatkan bagi membantu kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongan mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada upah harian, selain kerajaan komited memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: