Tiada kebakaran baharu, bomba hanya padam sisa kebakaran

Keadaan kabel di bawah Jambatan Pulau Pinang yang terbakar pada petang Isnin.
Keadaan kabel di bawah Jambatan Pulau Pinang yang terbakar pada petang Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan tiada berlaku kebakaran baharu pada ketiga-tiga kabel 132 kilo volt (kV) di Jambatan Pulau Pinang susulan kebakaran pada kabel bawah jambatan tersebut pada Isnin.

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin berkata, laporan yang mengatakan berlaku kebakaran baharu pada kabel di jambatan tersebut tidak tepat susulan pihak bomba hanya memadamkan sisa kebakaran sahaja.

Menurutnya, hasil siasatan TNB mendapati tiada kebakaran semula berlaku pada ketiga-tiga kabel 132kV yang terbakar pada petang Isnin itu.

“Laporan mengenai kabel elektrik di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang terbakar semula yang dilaporkan tidak tepat. Ini kerana arus elektrik pada kabel terbakar dimatikan secara automatik ketika kebakaran berlaku semalam (Isnin).

“Kumpulan teknikal kami yang berada di lokasi mendapati kepulan asap yang timbul pagi tadi (Selasa) dan dipadamkan pihak bomba adalah kesan dari sisa-sisa kebakaran yang berlaku pada petang Isnin,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak bomba yang berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran pada kabel tersebut.

Tambah beliau, TNB bersama PLUS Malaysia Berhad dan bomba sentiasa memantau keadaan demi keselamatan pengguna jambatan tersebut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang mengesahkan operasi pemadaman api tamat pada jam 5.45 petang.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian pada petang Isnin, TNB mengesahkan kebakaran di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara.

Kebakaran itu dikesan berlaku kira-kira jam 4 petang dan punca sebenar masih lagi dalam siasatan.

Anggota bomba bersama Pasukan Tindakan Kecemasan Jambatan Pulau Pinang terpaksa menggunakan bot ke lokasi kebakaran untuk memadam api dari bawah berikutan ia melibatkan kabel elektrik di bawah jambatan terbabit.