Dikompaun gara-gara RM1.90

Anggota KPDNHEP Pasir Mas memeriksa tong LPG di sebuah kedai runcit yang menjual melebihi harga kawalan di Jalan Rantau Panjang.
Anggota KPDNHEP Pasir Mas memeriksa tong LPG di sebuah kedai runcit yang menjual melebihi harga kawalan di Jalan Rantau Panjang.
A
A
A

PASIR MAS - Gara-gara ingin untung lebih sebanyak RM1.90 bagi setiap jualan, seorang peniaga kedai runcit dikenakan kompaun selepas didapati menjual gas petroleum cecair (LPG) melebihi harga kawalan pada Selasa.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pasir Mas, Suhaimi Abas berkata, perbuatan yang dilakukan peniaga wanita berusia 51 tahun tersebut terbongkar susulan pemeriksaan KPDNHEP di premisnya di Jalan Rantau Panjang di sini.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, kita dapati seorang peniaga kedai runcit di sini melakukan kesalahan dengan menjual LPG melebihi harga ditetapkan kerajaan.

“Harga runcit LPG adalah RM26.60 bagi silinder 14 kilogram (kg) tetapi dia menjualnya dengan harga RM28.50,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, peniaga tersebut dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Beliau berkata, KPDNHEP Pasir Mas menjalankan sebanyak 2,046 pemeriksaan ke atas premis perniagaan untuk tahun ini.

Suhaimi berkata, sebanyak 32 kes direkodkan melibatkan pelbagai kesalahan yang dikuatkuasakan oleh kementerian tersebut.

“KPDNHEP Pasir Mas sentiasa memandang serius berhubung harga jualan barang kawalan. Kami memberi amaran agar peniaga sentiasa menjual barang kawalan dengan harga ditetapkan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: