Syabu dalam lori, pemandu dan kelindan ditahan semasa SJR

Azman (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta di SJR Bagan Nira di Sabak Bernam pada Selasa.
Azman (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta di SJR Bagan Nira di Sabak Bernam pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang pemandu dan kelindan sebuah lori ditahan ketika cuba melepasi sekatan jalan raya (SJR) Bagan Nira dalam 'Ops Perdagangan Bersepadu' di sini pada Isnin.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, kedua-dua lelaki masing-masing berusia 42 dan 45 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, pemeriksaan lanjut di dalam lori menemui peket plastik lut sinar dadah jenis syabu seberat 0.26 gram bernilai RM50.

"Pemeriksaan air kencing kedua-duanya didapati positif methamphetamine dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB)," katanya pada sidang akhbar selepas operasi berkenaan pada Selasa.

Azman berkata, selain dua lelaki berkenaan, dua lagi individu turut ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Kedua-duanya merupakan pemandu lori berusia 30 dan 43 tahun ditahan pada jam 12.30 tengah malam Selasa dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai operasi itu, Azman berkata, operasi dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula Isnin hingga Selasa.

Katanya, sebanyak 27 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan teknikal, bagaimanapun tiada sebarang kesalahan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Artikel Berkaitan:

"Antara kesalahan dilakukan ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan mengelirukan, tiada lesen memandu, lampu brek dan kesalahan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh," katanya.