Bersih 2.0 beri peringatan kepada pemimpin PH

A
A
A

SHAH ALAM - Bersih 2.0 memberi peringatan kepada pemimpin PH khususnya daripada kalangan menteri dan timbalan menteri agar tidak menggunakan jentera kerajaan dalam PRK Dun Semenyih pada 2 Mac depan.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, strategi berkempen dengan menggunakan jentera kerajaan tidak lagi boleh memancing pengundi dan perkara itu jelas kelihatan menerusi keputusan PRK Parlimen Cameron Highland dan PRU14 lalu.

Menurut beliau, lawatan beberapa pemimpin seperti Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ke Semenyih dalam tempoh seminggu sebelum hari penamaan calon dilihat dapat menimbulkan keraguan kepada masyarakat.

"Program seperti pemberian minyak hitam motosikal secara percuma di DUN berkenaan perlu ditangguhkan terlebih dahulu walaupun telah lama dirancang.

"Dan sekiranya ia benar-benar penting, mungkin program-program itu boleh disempurnakan oleh pegawai kementerian dan sebagainya sehingga selepas berlangsungnya hari pengundian nanti,"katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, sebilangan pimpinan kerajaan dilihat mula turun ke kawasan DUN Semenyih bagi menghadiri beberapa program anjuran kementerian termasuk penyerahan bantuan kepada rakyat.

Selain Syed Saddiq, antara pemimpin lain yang turut turun padang adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek.

Mengulas lanjut, Thomas berkata, pihaknya bimbang tindakan oleh pemimpin terlibat akan menyebabkan budaya yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu akan terus kekal sehingga hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat mahu melihat perubahan tentang bagaimana kempen pilihan raya dijalankan secara adil dan bukannya melibatkan penyalahgunaan jawatan," katanya.

Sementara itu, Rina ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Bazar Mara di Semenyih memaklumkan bahawa beliau turun padang pada hari ini hanyalah sekadar kebetulan berikutan program itu telah dirancang sejak awal lagi.

Rina berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai teguran beberapa pihak yang mempersoalkan perkara itu namun beliau berpendirian program kementerian tidak wajar dihentikan hanya disebabkan PRK.

"Tidak adil program bantuan dihentikan hanya disebabkan PRK, program kementerian telah dirangka awal dan peruntukan baharu diperoleh jadi kita teruskan untuk fokus bantu rakyat.

"Jika kita ada agenda politik, kita akan fokus bantuan kepada pengundi saja sebaliknya saluran bantuan hari ini kepada mereka yang buat permohonan awal sebelum diluluskan,"katanya.