Kebenaran rentas daerah, negeri hantar anak sekolah dibincang esok

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengadakan perbincangan pada Rabu mengenai kelonggaran kepada ibu bapa merentas daerah dan negeri bagi menghantar anak ke sekolah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan perbincangan itu akan diumumkan Khamis ini dengan mengambil kira sekolah bakal dibuka secara berperingkat bermula 1 Mac.

"Jika pekerja boleh merentas daerah hanya dengan (menunjukkan) surat majikan tanpa (surat) kebenaran (daripada) polis, saya akan berbincang dengan KPM mengenai ini. Khamis ini kita umum.

"Kalau boleh, surat kemasukan asrama dan sebagainya serta surat daripada guru disediakan (oleh KPM) sebagai surat kebenaran khas kepada ibu bapa yang akan menghantar anak mereka ke sekolah atau asrama di luar daerah atau negeri," katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Selasa.

Jumaat lalu, KPM menetapkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac ini untuk murid sekolah rendah iaitu prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 manakala murid Tahun 3 hingga Tahun 6 pula bermula pada 8 Mac.

Pelajar sekolah menengah pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi Kumpulan A iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu, manakala pelajar sekolah menengah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) pada 5 April.

Mengulas sama ada kerajaan akan membenarkan perkhidmatan merias dan merawat kuku beroperasi di dalam kawasan PKP, Ismail Sabri berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke mesyuarat teknikal esok sebelum membuat pengumuman Khamis ini.

“Saya faham rungutan ini, saya juga menerima permohonan hampir setiap hari. Di kawasan PKPB dan PKPP telah pun dibenarkan beroperasi dan yang memohon ini di kawasan PKP di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berkata, setakat ini kerajaan masih belum memberi kebenaran merentas negeri bagi yang berstatus PKPB namun dibolehkan dengan kebenaran polis sekiranya ada keperluan mendesak.

“... tetapi seperti yang kita tahu, status PKP, PKPB dan PKPP ini akan kita ketahui selepas tamatnya ketiga-tiga PKP ini pada 4 Mac dan dua hari sebelum itu, saya akan umumkan,” katanya. - Bernama