X

Kindly register in order to view this article
!

Individu dikompaun kerana kekeliruan polis boleh buat rayuan

Wujud kekeliruan apabila terdapat aduan orang awam dikenakan kompaun kerana rentas sempadan PDRM.
A
A

KUALA LUMPUR - Mereka yang dikompaun RM1,000 ketika sekatan jalan raya ekoran kekeliruan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sepanjang siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh mengemukakan rayuan untuk jumlah kompaun dikurangkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini termasuklah kekeliruan terhadap larangan rentas daerah di negeri-negeri di bawah PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Ada yang mengadu mereka ditahan di sekatan jalan raya, sedangkan mereka masih di dalam daerah yang sama tetapi kerana ia sempadan daerah Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka dikompaun... kita tidak pernah menggunakan daerah polis.

"Kerajaan menggunakan daerah pentadbiran yang diketuai Pegawai Daerah, bukannya daerah polis... kekeliruan ini sudah diperbetulkan, saya sendiri telah memaklumkan pada PDRM, " katanya pada sidang media perkembangan PKP di Wisma Pertahanan di sini pada Selasa.

Beliau sehubungan itu berkata, mereka yang dikenakan kompaun dalam kes-kes sebegini boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pejabat Kesihatan Daerah mengikut daerah di mana kompaun itu dikeluarkan.

"Kemukakan rayuan dengan memberikan sebab-sebab tertentu sebelum membuat bayaran kepada Kementerian Kesihatan atau Pejabat Kesihatan Daerah... kalau pegawai yang menerima rayuan itu bersetuju dengan alasan yang diberikan, mereka boleh menurunkan kadar kompaun," katanya.

Beliau berkata, apabila orang ramai mendapat kompaun RM1,000 kerana mengingkari PKP, ramai yang terkeliru menyangka mereka perlu membayar kompaun RM1,000 sedangkan mereka boleh membuat rayuan.

"Di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), kompaun RM1,000 itu adalah kompaun maksimum... maka sesiapa yang kena kompaun RM1,000, bukan bermakna mereka perlu membayar RM1,000, mereka masih lagi boleh merayu untuk mengurangkan kompaun," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak pernah mengarahkan hotel ditutup sama ada di kawasan PKP, PKPB atau PKPP.

"Hotel sentiasa beroperasi, bagaimanapun jika ada hotel yang ditutup kerana kekurangan pelanggan dan sebagainya, itu tiada kena mengena dengan arahan kerajaan, malah aktiviti pelancongan sekarang ini di kawasan PKPP dan PKPB telah pun dibenarkan beroperasi," katanya.

Dalam masa sama, beliau menafikan semua perubahan SOP yang dibuat kerajaan adalah 'flip flop' seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya perubahan dibuat berdasarkan keperluan dan situasi semasa. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!