Pendaftaran terima vaksin Covid-19 di MySejahtera bermula hari ini

Ruangan vaksin Covid-19
Ruangan vaksin Covid-19
A
A
A

SHAH ALAM - Pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 boleh dibuat di aplikasi MySejahtera telefon pintar masing-masing bermula hari ini (Selasa).

Aplikasi MySejahtera merupakan langkah yang paling cepat untuk mendaftar berbanding empat cara lain yang disediakan.

Pengguna perlu mengemas kini aplikasi tersebut kepada versi 1.0.28 terlebih dahulu bagi meneruskan pendaftaran.

Apabila kemas kini, terdapat satu ruangan vaksin Covid-19 dan apabila ditekan pemohon diminta untuk mengesahkan maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon.

Pengesahan maklumat pemohon
Pengesahan maklumat pemohon



Makluman kepada pehomon berkaitan vaksin fasa satu diberikan kepada barisan hadapan
Makluman kepada pehomon berkaitan vaksin fasa satu diberikan kepada barisan hadapan



Antara soalan yang perlu dijawab pemohon
Antara soalan yang perlu dijawab pemohon

Setelah disahkan, pemohon boleh terus mendaftar untuk vaksinasi dan dimaklumkan bahawa fasa satu yang bermula esok, 24 Februari hanya untuk barisan hadapan buat masa ini.

Artikel Berkaitan:

Namun, pemohon boleh meneruskan proses pendaftaran dan akan diberitahu apabila fasa seterusnya bermula.

Untuk mendaftar, perlu menjawab empat soalan yang merangkumi minat untuk diberi vaksin, sejarah penyakit, sama ada pemohon terdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) dan alamat rumah sekarang.

Aplikasi MySejahtera mengesyorkan pemohon mengaktifkan pemberitahuan supaya dapat menerima makluman mengenai status vaksinasi.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari ini dengan fasa pertama dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa kedua pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang.

Fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.