Masuk jel kerana buang sampah merata

Pelaku (dua dari kanan) hadir di Mahkamah Jalan Duta untuk sebutan semula kes melibatkan tindakannya yang dikesan membuang sampah kemersial di tempat yang salah.
Pelaku (dua dari kanan) hadir di Mahkamah Jalan Duta untuk sebutan semula kes melibatkan tindakannya yang dikesan membuang sampah kemersial di tempat yang salah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki terpaksa bermalam di penjara selama lima hari selepas gagal membayar denda RM10,000 atas kesalahan membuang sampah komersial di atas tanah kerajaan.

Dalam sebutan semula kes di Mahkamah Jalan Duta pada Selasa, lelaki berusia 42 tahun itu mengaku salah sebelum mahkamah menjatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan, Mohd Zahir Shari memaklumkan, kes berkenaan adalah kes ketiga dibawa ke mahkamah bagi tahun ini melibatkan nilai denda keseluruhan sebanyak RM20,000 setakat ini.

Menurutnya, pelaku pada 18 April lepas, dikesan sedang melonggokkan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran di lokasi Jalan 13/2A, Taman Wilayah Selayang.

"Sekitar jam 10.30 pada hari kejadian, pembantu penguat kuasa SWCorp Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menjalankan operasi di lokasi dan mengesan sebuah van yang sedang melonggokkan sisa pepejal komersial.

"Siasatan mendapati sisa longgokan tersebut telah dilakukan oleh seorang pemandu van dari sebuah syarikat yang mengangkut sisa jenis komersial (sisa kotak)," katanya pada Selasa.

Menurutnya, lokasi pembuangan sampah tersebut merupakan tanah kerajaan simpanan jalan dalam Mukim Batu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, tempat pelupusan sisa pepejal yang diwartakan adalah Stesen Pemindahan Taman Beringin Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

"Semakan dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara mengesahkan bahawa sisa yang dibuang oleh pelaku adalah sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal jenis komersial sebagaimana yang yang diperuntukkan di bawah Akta 672.

"Keterangan yang ada jelas menunjukkan bahawa pelaku telah melonggokkan sisa pepejal terkawal tanpa kebenaran di tempat kejadian dan telah melakukan kesalahan sebagaimana di dalam pertuduhan," katanya.

Tambah beliau, sebanyak sembilan kes melibatkan pembuangan sampah haram telah didakwa dengan jumlah denda sebanyak RM100, 000 pada tahun lepas.

"Namun begitu, mereka tidak serik dan tidak mengambil pengajaran daripada tindakan yang telah dijalankan.

"SWCorp akan terus memperkasakan tindakan penguatkuasaan dan meningkatkan sistem penyampaian supaya pihak terlibat peka dan tidak melakukan kesalahan sama," katanya.