Industri rugi RM3 bilion angkara cetak rompak digital

Industri media dan hiburan Malaysia dianggar kerugian sebanyak RM3 bilion akibat jenayah cetak rompak.
Industri media dan hiburan Malaysia dianggar kerugian sebanyak RM3 bilion akibat jenayah cetak rompak.
A
A
A

SHAH ALAM - Industri media dan hiburan Malaysia dianggar kerugian sebanyak RM3 bilion akibat jenayah cetak rompak.

Penggiat industri media dan hiburan Malaysia dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, perbuatan tersebut juga mengakibatkan kehilangan RM500 juta cukai pendapatan dan ribuan individu kehilangan pekerjaan.

Dalam kenyataan sama, penggiat industri menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah cetak rompak digital adalah tidak setimpal.

Penerbit dan Pengarah Filem, Datuk Yusof Haslam berkata, perbuatan mencuri itu bukan perkara baru dan perlu diatasi sebaik mungkin oleh pihak penguat kuasa.

“Tanpa usaha dan keazaman dari pihak berwajib, kegiatan cetak rompak digital akan terus berlaku.

“Tanpa undang-undang yang tegas, cetak rompak akan berterusan dan merebak seperti barah kepada industri kreatif negara dan penggiatnya,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Pada 8 Februari 2021,sebuah syarikat IT di Shah Alam adalah syarikat pertama didakwa di mahkamah kerana melanggar Seksyen 41 (1) (ha) Akta Hakcipta 1987 kerana menjual teknologi atau alat bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut di dalam subseksyen 36A(3), Akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta pengarah tersebut mengaku bersalah dan sedang menunggu hukuman di mahkamah pada 1 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengarah Kawal-Selia Astro, Laila Saat berkata, cetak rompak pada hari ini dilihat seakan-akan menjadi kebiasaan sehingga ramai yang terleka dan terlupa bahawa ia merupakan sebahagian dari perbuatan mencuri.

Menurutnya, tindakan tersebut melibatkan pencurian hasil kerja setiap mereka yang terlibat dalam ekosistem kreatif tersebut daripada pelakon, penulis, penerbit, pengarah dan jurugambar yang mana secara langsung menghalang sebarang pembangunan.

Tambahnya, jika tiada tindakan dilakukan ia akan membantutkan segala usaha yang dilaksanakan industri hiburan.

Pada masa sama, Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem (PFM), Zahrin Aris berkata, penalti yang dikenakan ke atas mereka yang menggunakan kotak media mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hakcipta dilihat agak ringan.

“Hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada mereka kerana nilai kerugian yang perlu ditanggung oleh tindakan cetak rompak ini sudah tentu lebih tinggi dari hukuman denda yang hanya RM30,000,” katanya.

Selain itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, hukuman yang dikenakan baru-baru ini bakal dijadikan penanda aras seterusnya memberi keadilan kepada pemain industri kreatif tempatan khususnya.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Pemasaran Star Media Group, Lam Swee Kim berkata, hukuman tersebut perlu setimpal bagi mencerminkan impak buruk yang berlaku kepada penggiat industri.

Penggiat industri merayu kepada kerajaan untuk melakukan kajian semula ke atas undang-undang yang sedia ada agar memberi perlindungan yang menyeluruh kepada pemilik hakcipta yang merangkumi setiap kerja-kerja kreatif yang diusahakan.