X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di Kampung Teluk, Felda Triang 3 tamat esok

Ismail Sabri
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Teluk, Setiawan, Perak dan Felda Triang 3, Bera, Pahang esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Felda Triang 3, Bera yang dikenakan PKPD pada 18 Februari ditamatkan lebih awal berbanding mengikut jadual yang sepatutnya pada 3 Mac.

"Sehingga kini, KKM (Kementerian Kesihatan) telah melaksanakan 237 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 11 kes positif (Covid-19) telah direkodkan. Bagaimanapun, KKM mengesahkan situasi penularan jangkitan di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

"Sehubungan itu, pihak kerajaan atas nasihat KKM bersetuju untuk menamatkan PKPD di Felda Triang 3, Bera, Pahang pada 24 Februari, lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Selasa.

Berhubung perkembangan di Kampung Teluk, Setiawan yang dikenakan PKPD pada 11 Februari, Ismail Sabri berkata, sehingga kini KKM telah melaksanakan 131 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 26 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti tersebut menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi kes baharu dikesan selepas 17 Februari.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Teluk, Setiawan, Perak pada 24 Februari seperti yang dijadualkan," katanya.

Mengenai saringan wajib pekerja warga asing pada Isnin, Ismail Sabri berkata, seramai 15,399 warga asing telah menjalani saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, seramai 97 didapati positif.

"Secara kumulatif, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 458,919 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 22,912 majikan dan daripada jumlah ini, 8,101 orang telah disahkan positif manakala 450,818 lagi negatif,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, seramai 321 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard dan daripada jumlah itu, 286 individu dikompaun, 29 direman, sementara enam dijamin.

Selain itu, 17 pendatang tanpa izin ditangkap bersama empat tekong, serta 11 kenderaan darat dirampas dalam Ops Benteng pada Isnin. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!