Guan Eng dipanggil ke Bukit Aman kes tolak darurat

Guan Eng menerusi Twitter dilihat mempersoalkan siasatan dilakukan polis terhadap kenyataan bersama PH sebelum ini berhubung isu darurat.
Guan Eng menerusi Twitter dilihat mempersoalkan siasatan dilakukan polis terhadap kenyataan bersama PH sebelum ini berhubung isu darurat.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis memanggil Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dibuat pada 12 Januari lalu.

Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Rayer berkata, beliau telah dihubungi pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada Isnin.

"Guan Eng akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dilihat mempersoalkan perkara itu menerusi Twitter beliau dengan memuat naik kenyataan Rayer tersebut.

"Satu lagi tindakan untuk melenyapkan suara pembangkang selepas Parlimen digantung demi mengekalkan kuasa kerajaan PN (Perikatan Nasional) yang sudah kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen?" tulisnya.

Pada 12 Januari lalu, PH dalam satu kenyataan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Guan Eng menolak rasional serta alasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia daripada ancaman Covid-19.

Menurut mereka, undang-undang sedia ada termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak tersebut.

Artikel Berkaitan: