Syarikat komersial dunia gantung penerbangan Boeing 777

Gambar fail menunjukkan salah sebuah enjin pesawat Boeing 777 milik United Airlines
terbakar ketika ia terbang di ruang udara Denver, Colorado, Amerika Syarikat pada 20 Februari.
Gambar fail menunjukkan salah sebuah enjin pesawat Boeing 777 milik United Airlines terbakar ketika ia terbang di ruang udara Denver, Colorado, Amerika Syarikat pada 20 Februari.
A
A
A

NEW YORK - Penerbangan berpuluh-puluh pesawat Boeing 777 digantung di seluruh dunia pada Isnin berikutan kejadian sebuah enjin pesawat United Airlines terbakar di pinggir Denver, Amerika Syarikat (AS) pada 20 Februari lalu.

Enjin pesawat itu terbakar ketika pesawat Boeing 777 itu berlepas tetapi berpatah balik ke sebuah lapangan terbang di Denver sehingga mengakibatkan syarikat penerbangan berkenaan menggantung penggunaan kapal terbang yang menggunakan enjin Pratt & Whitney.

Bagaimanapun, tiada seorang pun yang cedera dalam kejadian itu.

Kejadian itu berlaku semasa pesawat itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Denver ke Honolulu, Hawaii dengan membawa 231 penumpang dan 10 kru penerbangan.

Ia merupakan satu tamparan terbaru untuk Boeing yang baru-baru ini menyambung semula penghantaran pesawat Boeing 737 MAX ke beberapa buah syarikat penerbangan berikutan dua kemalangan maut melibatkan jenis kapal terbang itu.

Pakar-pakar penerbangan berkata, kejadian kebakaran itu mencetuskan persoalan tentang pembuat enjin itu, Pratt & Whitney dan syarikat penerbangan United Airlines berhubung penyelengaraan enjin berkenaan.

Kejadian di Denver itu berlaku selepas sebuah kapal terbang Boeing 777 milik Japan Airlines yang menggunakan enjin yang sama terbakar pada bulan Disember.

Syarikat penerbangan United Airlines telah menggantung penerbangan 24 pesawat Boeing 777 miliknya.

Artikel Berkaitan:

Turut berbuat demikian ialah Japan Airlines, All Nippon Airways, syarikat penerbangan Korea Selatan, Asiana dan Korean Air.

Akhbar Al Ahram di Mesir melaporkan pada Isnin, syarikat penerbangan kebangsaan iaitu Egyptair turut menggantung penerbangan empat pesawat yang menggunakan enjin yang sama.

Namun, pesawat-pesawat itu tidak lagi beroperasi, kata satu sumber.

Setiausaha Pengangkutan United Kingdom (UK), Grant Shapps mengumumkan larangan sementara penerbangan untuk semua pesawat yang menggunakan enjin Pratt & Whitney 4000-112 daripada memasuki ruang udara UK. - Agensi