Suntikan pertama vaksin Covid-19 hapus jangkitan

Vaksin Pfizer-BioNTech diakui oleh para penganalisis dari Agensi Kesihatan Awam England
mampu memberikan kesan yang efektif bagi menghalang jangkitan Covid-19. - Foto AFP
Vaksin Pfizer-BioNTech diakui oleh para penganalisis dari Agensi Kesihatan Awam England mampu memberikan kesan yang efektif bagi menghalang jangkitan Covid-19. - Foto AFP
A
A
A

EDINBURG - Data daripada dua kajian yang diterbitkan di United Kingdom (UK) dan Scotland pada Isnin menunjukkan suntikan pertama vaksin koronavirus (Covid-19) adalah efektif bagi menghalang jangkitan Covid-19 dan kadar kemasukan ke hospital.

Beberapa penganalisis dari agensi Kesihatan Awam England mendapati vaksin yang dikeluarkan oleh Pfizer-BioNTech itu mampu mengurangkan lebih 70 peratus risiko bagi mendapatkan jangkitan Covid-19 selepas suntikan pertama diperoleh.

Suntikan dos kedua vaksin itu pula mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 sebanyak 85 peratus.

Kadar kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19 juga berkurangan sebanyak 75 peratus untuk penerima satu dos vaksin Pfizer-BioNTech, menurut analisis tersebut.

"Laporan penting ini menunjukkan vaksin itu sedang bekerja. Ia adalah sesuatu yang amat menggalakkan untuk melihat vaksin Pfizer bekerja dengan perlindungan yang tinggi bagi menentang koronavirus," kata Setiausaha Kesihatan UK, Matt Hancock seperti dilaporkan oleh AFP.

Britain merupakan salah sebuah negara yang teruk dilanda pandemik Covid-19 apabila seramai 120,757 orang telah meninggal dunia.

Ia juga merupakan negara yang memulakan program vakisn besar-besaran dan lebih 17 juta penduduknya kini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pertama.

Pada waktu yang sama, kajian di Scotland menunjukkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Oxford-AstraZeneca telah berjaya mengurangkan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital setelah dos pertama diberikan.

Artikel Berkaitan:

Kajian itu yang diketuai oleh Universiti Edinburgh menunjukkan bahawa pada minggu keempat selepas menerima dos Pfizer, ia dapat mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sehingga 85 peratus.

Vaksin Oxford-AstraZeneca pula dapat mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak 94 peratus.

Seramai 650,000 orang di Scotland telah memperoleh suntikan vaksin Pfizer manakala 490,000 lagi menerima vaksin Oxford-AstraZeneca.

Vaksin Pfizer-BioNTech ialah keluaran syarikat ubat-ubatan Amerika Syraikat (AS) dengan kerjasama Jerman.

Dalam pada itu, vaksin Oxford-AstraZeneca ialah keluaran syarikat ubat-ubatan Britain dan Sweden dengan kerjasama Universiti Oxford. - Agensi