Kenyataan Nur Jazlan tidak jejas perpaduan PN Johor

 Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa parti itu tidak akan memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak memecahbelahkan perpaduan Perikatan Nasional (PN) Johor.

Setiausaha PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, hubungan antara Bersatu, UMNO, Pas dan Parti Gerakan di Johor masih kukuh dan kenyataan Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai disifatkan sebagai pandangan peribadi bukan mewakili UMNO.

"Apa pun kita tunggu kenyataan daripada Presiden Bersatu, (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengenai perkara ini. Kita serahkan kepada pucuk pimpinan.

"Walau apa pun kita bagi pihak Bersatu bersiap sedia untuk berdepan pilihan raya umum," katanya kepada pemberita selepas Program Santuni Penunggang Food Panda dan Penjaja Bandar Baru Uda di sini pada Selasa.

Pada Jumaat Nur Jazlan berkata, Bersatu usah bermimpi UMNO Johor akan beri laluan sebaliknya tetap dengan pendirian untuk tidak sesekali menyerahkan kesemua kerusi yang ditandingi mereka kepada Bersatu pada PRU15.

ARTIKEL BERKAITAN ‘Bersatu usah bermimpi’

Menurut Nur Jazlan, pendirian UMNO Johor itu tidak berubah dan sama seperti tahun lalu, cuma boleh 'bagi muka' kepada kerusi Parlimen Pagoh untuk ditandingi Muhyiddin manakala kerusi lain tidak akan diberikan laluan.

"Bersatu jangan harap nak ambil kerusi UMNO. Kalau mereka nak juga, kena berlawan dengan kita pada PRU15 nanti," kata Nur Jazlan.

Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor berharap, semua pihak tidak terlalu berpolitik dan menumpukan kepada usaha untuk membantu rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kita jangan sentiasa berpolitik...rakyat tengah susah, kita kena bekerja untuk bantu rakyat," katanya.

Mengenai program berkenaan, beliau memberitahu, lebih 60 penunggang dan penjaja menerima sumbangan pelitup muka, cecair nyah kuman dan jaket daripada PN.