X

Kindly register in order to view this article
!

Suami isteri curi susu formula bayi sejak setahun

Nurulhuda (kanan) menunjukkan antara rampasan susu formula bayi susulan penahanan sepasang suami isteri, pada Jumaat lalu di Klang.
A
A

KLANG - Kegiatan sepasang suami isteri yang menyara hidup dengan mencuri susu formula bayi dan kemudian menjualnya semula kepada sebuah kedai runcit sejak setahun lalu terbongkar susulan mereka ditahan polis pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, polis turut menahan seorang pemilik kedai runcit di Klang bersama rampasan seperti barangan mandian, makanan dalam tin, susu formula bayi dan barang kosmetik bernilai kira-kira RM50,000.

Menurutnya, siasatan mendapati pasangan terbabit menyasarkan farmasi dan pasar raya di sekitar Klang yang tidak mempunyai alat pengimbas harga.

"Suspek ini akan masuk ke dalam premis dengan membawa beg sandang sebelum mengambil barang seperti susu formula bayi dan alatan kosmetik.

"Hasil curi akan dijual kepada seorang pemilik kedai runcit dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara pada Selasa.

Nurulhuda berkata, selain itu, pada Isnin, polis juga menahan seorang pekerja kedai runcit terbabit yang dipercayai berperanan menukar tanda harga setiap barangan hasil curi itu.

Mengulas lanjut, siasatan mendapati hasil curi itu kemudian akan dijual semula oleh kedai runcit terbabit termasuk secara dalam talian (online) yang kononnya menawarkan diskaun.

"Polis percaya kedai runcit terbabit turut mendapat hasil curi daripada kumpulan lain di sekitar Shah Alam dan Klang. Siasatan masih dijalankan untuk memburu suspek lain yang terlibat," katanya.

Tambahnya, polis menyelesaikan 10 kes di daerah Klang Utara dengan tertangkapnya suspek.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40-an direman sehingga Selasa untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!