X

Kindly register in order to view this article
!

Sungai Kerpan bertukar hitam

Air sungai di Kuala Kerpan didakwa bertukar hitam dan berbau busuk akibat buangan sisa kolam ternakan udang.
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan Kedah mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sungai yang didakwa berpunca daripada sisa buangan kolam ternakan udang di Kuala Kerpan, Kubang Pasu, di sini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, masalah itu turut mengancam kehidupan 200 nelayan di kawasan berkenaan.

Katanya, penduduk mendakwa walaupun aduan dibuat kepada pihak berkaitan, namun masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu itu dipercayai semakin serius tiga tahun kebelakangan ini.

“Tinjauan CAP mendapati air Sungai Kerpan bertukar warna menjadi hitam dan berbau busuk manakala hidupan seperti ikan, udang, ketam serta kerang semakin berkurangan dan hampir pupus.

“Susulan itu, pendapatan nelayan di kawasan kampung tersebut didakwa merosot melebihi 50 peratus dan kadang-kadang mencecah sehingga 90 peratus jika masalah ini terus berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohideen berkata, maklumat diterima CAP mendakwa pengusaha ternakan udang membuang sisa kolam pada awal pagi bagi mengelak diketahui penduduk dan pihak berkuasa.

Anak ikan didapati mati di permukaan Sungai Kuala Kerpan.
Anak ikan didapati mati di permukaan Sungai Kuala Kerpan.

“Bagaimanapun, perbuatan tersebut dapat dikesan kerana air sungai bertukar hitam, berbau busuk dan beberapa jenis ikan seperti sembilang, gelama dan siakap didapati mati,” katanya.

Menurutnya, CAP kesal apabila tiada tindakan diambil walaupun pencemaran akibat sisa buangan kolam sudah lama berlaku.

Beliau berkata, jika keadaan itu dibiarkan, CAP bimbang pencemaran sungai akan lebih serius mengakibatkan kepupusan hidupan dan nelayan tempatan putus mata pencarian.

Katanya, jabatan terbabit perlu mengambil tindakan undang-undang supaya tidak berulang.

Pada Jun 2020, Sinar Harian melaporkan penderitaan kira-kira 300 keluarga di Kampung Kuala Kerpan, di sini, yang terpaksa menghidu bau busuk air dipercayai berpunca daripada buangan sebuah kolam ternakan udang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!