X

Kindly register in order to view this article
!

KPWKM dalam usaha naik taraf bidang jurubahasa isyarat

RINA HARUN
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang berusaha menaik taraf bidang jurubahasa isyarat dan mengiktiraf kepentingan mereka dengan bermula di sektor awam.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, terdapat 95 jurubahasa isyarat yang berdaftar di bawah Persekutuan Orang Pekak Malaysia berbanding 40,389 orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat tahun lepas.

Bercakap ketika melancarkan program MySign: Kursus Bahasa Isyarat Malaysia secara maya di laman Facebook Institut Sosial Malaysia (ISM) hari ini Rina berkata, semua pihak harus menghindari tanggapan bahawa keperluan mempelajari bahasa isyarat terhad kepada golongan OKU pendengaran serta ahli keluarga mereka sahaja.

Rina turut menggesa agar semua warga KPWKM serta agensi di bawahnya mengambil inisiatif mempelajari sekurang-kurangnya peringkat asas komunikasi bahasa isyarat.

"Pelanggan yang hadir ke KPWKM dan agensi adalah termasuk OKU pendengaran dan pertuturan, oleh yang demikian pengetahuan serta kemahiran berbahasa isyarat ini merupakan nilai tambah yang sewajarnya ada untuk kita menyantuni semua golongan masyarakat di negara ini," katanya.

Mengenai MySign, Rina berkata, kursus anjuran ISM itu pertama kali diadakan secara maya bermula hari ini bagi memberi latihan dan panduan asas tentang cara-cara menggunakan bahasa isyarat.

Seramai 150 peserta daripada sektor awam dan swasta mengikuti kursus itu secara serentak hari ini berbanding antara 30 dan 40 orang pada satu-satu masa ketika dilaksanakan secara bersemuka sejak 2006, katanya.

Beliau berharap peserta yang menerima latihan itu mampu menjadi ejen perubahan bagi mewujudkan persekitaran dan masyarakat yang lebih inklusif, terutamanya bagi golongan OKU pendengaran. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!