X

Kindly register in order to view this article
!

Ada kumpulan tidak digalakkan ambil vaksin: NPRA

A
A

KUALA LUMPUR - Semasa vaksin Covid-19 yang ditunggu-tunggu dunia muncul bersama harapan untuk meletakkan titik noktah kepada pandemik itu menerusi imuniti kelompok, namun barang diingat, masih ada kelompok yang tidak digalakkan untuk mengambilnya.

Bagi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), badan yang mengambil tanggungjawab menjadi penentu kepada kebenaran untuk penggunaan vaksin itu ada juga kumpulan yang tidak dibenarkan mengambilnya termasuklah bagi vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang dipanggil COMIRNATY.

Menurut soalan lazim (FAQ) di laman web NPRA mengenai vaksin COMIRNATY itu, penggunaannya kepada individu kurang daya ketahanan imun, pesakit autoimun, wanita mengandung atau menyusukan anak adalah tidak disyorkan.

Ini kerana buat masa ini, bukti klinikal belum mencukupi untuk menyokong penggunaan vaksin itu di kalangan kumpulan berkenaan, namun saranan itu mungkin berubah selepas lebih banyak data klinikal diperoleh.

"Ujian klinikal vaksin COMIRNATY juga tidak melibatkan peserta di kalangan wanita yang hamil atau sedang menyusukan anak... memandangkan tiada data keberkesanan dan keselamatan penggunaan vaksin ini bagi populasi itu, pemberian itu adalah tidak disyorkan sehingga maklumat lanjut diperoleh," kata NPRA.

Vaksin COMIRNATY juga tidak boleh diberikan kepada individu yang mempunyai reaksi alahan kepada mana-mana bahan dalam vaksin, antaranya messenger ribonucleic acid (mRNA), lipids, polyethylene glycol, potassium chloride, potassium dihydrogen phosphate, sodium chloride, disodium phosphate dihydrate dan sucrose.

Tambah NPRA, dos kedua vaksin itu juga tidak seharusnya diberikan kepada individu yang mengalami reaksi alergi alahan yang serius setelah penerimaan dos pertama.

"Sila dapatkan nasihat doktor jika anda mempunyai sebarang bentuk alahan, masalah pendarahan, atau sedang mengambil apa-apa ubat pencair darah, sedang atau baharu selesai menerima rawatan kanser, transplan organ atau sel stem.

"Juga jika pernah dijangkiti Covid-19, pernah menerima vaksin Covid-19 yang lain, sama ada menerusi program imunisasi atau sebagai subjek dalam ujian klinikal Covid-19, atau pernah menerima rawatan antibodi pasif bagi Covid-19," kata NPRA.

Dalam masa sama, vaksin itu yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) adalah untuk individu berumur 18 tahun dan ke atas, buat masa ini.

"Ini berikutan tiada data yang mencukupi untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan pemberian vaksin kepada golongan bawah 18 tahun... oleh itu kanak-kanak di bawah usia itu tidak boleh diberi imunisasi sehingga data lanjut diperoleh," tambah NPRA.

Sementara itu, Presiden Farmasi Malaysia Amrahi Buang berkata, orang ramai seharusnya bergantung dan hanya percaya dengan maklumat tepat di laman web NPRA itu, bukannya dengan mendengar khabar angin atau desas-desus dari negara lain.

Katanya, NPRA sentiasa mengemas kini dan meminda bahagian FAQ vaksin COMIRNATY itu dengan maklumat terbaharu mengenai vaksin berkenaan sejurus memperoleh maklumat terkini sama ada dari Pfizer sendiri, selain perkongsian data hasil kerjasama global dengan negara-negara lain.

"Bagaimanapun orang ramai janganlah membuat tafsiran sendiri... adalah lebih baik biar doktor pakar yang membuat keputusan sama ada boleh ambil atau tidak vaksin pada hari pengambilan vaksin itu nanti, kerana penyakit ada pelbagai jenis dan tahap keseriusan yang berlainan.

"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin contohnya, meskipun beliau merupakan ‘cancer survivor’ tetapi beliau akan mengambil suntikan vaksin itu kerana doktor beliau kata boleh," katanya.

Mengenai Sanovac, beliau berkata, meskipun vaksin dari China itu akan tiba pada 27 Februari depan, namun maklumat mengenai vaksin itu belum boleh didapati di NPRA memandangkan ia belum lagi didaftarkan di negara ini.

"Vaksin itu akan datang ke negara ini secara pukal sebelum proses 'fill and finish' dibuat di kilang milik Pharmaniaga di negara ini, kemudian baharu mohon pendaftaran kepada NPRA agar PBKD boleh mengeluarkan pendaftaran bersyarat," katanya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berkata, mereka yang tidak mempunyai sebarang penyakit kritikal dan serius, tidak seharusnya takut untuk mengambil vaksin itu memandangkan ia selamat digunakan.

"Suntikan bukannya dilakukan sewenang-wenangnya, doktor yang menilai risiko akan tanya dan semak dahulu sejarah penyakit yang dihadapi serta alahan sebelum membuat keputusan sama ada vaksin itu sesuai untuk diambil atau pun tidak.

"Ibu mengandung contohnya, ada pakar berpendapat kalau pada ‘trimester’ ketiga, vaksin boleh diambil... sebab itu maka lebih baik berbincang dengan doktor bagi mendapatkan kepastian... itu lebih baik," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!