X

Kindly register in order to view this article
!

Penjaja maut, kereta terbabas rempuh gerai

Keadaan gerai yang dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Batu Sinar, Bandar Baharu Kampar di sini pada Selasa. Gambar kecil: Hasron Nazri
A
A

KAMPAR - Seorang penjaja makanan maut, manakala seorang lagi cedera selepas sebuah kereta terbabas dan merempuh kaki lima sebuah restoran di Jalan Batu Sinar, Bandar Baharu Kampar di sini pada Selasa.

Kejadian sekitar jam 9.40 pagi itu menyebabkan Wong Kwai Yung, 59, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Kejadian itu turut mengakibatkan rakan niaga mangsa berusia 50 tahun mengalami luka pada bahu dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, ketika kejadian, kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki berusia 54 tahun itu sedang masuk ke parkir di hadapan kedai untuk membeli makanan.

Bagaimanapun katanya, secara tidak sengaja, lelaki terbabit yang kudung kaki sebelah kanan telah terpijak pedal minyak menyebabkan kenderaan itu bergerak ke hadapan dan merempuh kedua-dua mangsa yang sedang memasak di gerai di kaki lima hadapan restoran.

"Rempuhan itu menyebabkan seorang daripada mangsa cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Kampar," katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta bersama seorang penumpang wanita berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, ketika kejadian terdapat beberapa pelanggan lain sedang makan di dalam restoran, namun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

"Siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!