X

Kindly register in order to view this article
!

'Pilih calon ikut kehendak pengundi bukan kehendak pimpinan'

Shahrir Abdul Samad
A
A

SHAH ALAM - UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus berpegang teguh kepada prinsip-prinsip pemilihan calon lebih menepati kehendak pengundi berbanding kehendak pimpinan parti, umpamanya ikut jawatan parti.

Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, prinsip-prinsip itu mengambil kira keadaan luar biasa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau mengambil contoh calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland yang mempertaruhkan Ramli Md Nor dan pengundi menerimanya biarpun beliau tidak ada jawatan dalam parti.

Di PRK Semenyih pula, calon BN bukan juga berjawatan tinggi dalam UMNO bahagian, hanya setakat peringkat cawangan dan dikenali dalam kalangan kepimpinan masjid dan surau tetapi Zakaria Hanafi berjaya membawa kemenangan kedua bagi UMNO dan BN.

Menurutnya, hanya di PRK Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon BN di PRU14, mengambil tempat lamanya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

"Di PRK Tanjung Piai, UMNO mengekalkan kesetiaannya kepada wadah BN apabila calon MCA diterima sebagai calon BN sambil terbuktinya UMNO tidak tamak kuasa dan kedudukan.

"PRK Kimanis pula menyaksikan kemunculan seorang pemimpin baharu, Datuk Mohamad Alamin setelah ramai pemimpin UMNO yang melompat dan meninggalkan parti.

"Di PRK Pekan (DUN Chini), UMNO juga tidak ketengahkan pemimpin tinggi parti, sebaliknya memilih Mohd Sharim Md Zain seorang anak muda yang aktif dalam pergerakan belia peringkat Felda," katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, calon BN untuk PRK DUN Slim juga bukan pemimpin UMNO yang berkedudukan tinggi, Mohd Zaidi Aziz hanya memegang jawatan peringkat bahagian.

Menurutnya, kehendak akar umbi iaitu rakyat dan pengundi lebih tepat kerana pada PRU15, UMNO dan BN mengetuai lima buah negeri, melebihi Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Kalau diisytihar Sabah, Kedah, Kelantan dan Terengganu sebagai kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) walaupun hanya di Sabah, pemimpin PN yang duduk sebagai ketua kerajaan, masih UMNO mendahului dari segi jawatan ketua kerajaan," katanya lagi.

Justeru, beliau menyifatkan semua parti politik berdepan dengan keadaan politik luar biasa, bukan UMNO dan BN sahaja.

"Sungguh luar biasa keadaan politik yang dihadapi kali ini oleh semua parti. Bukan UMNO dan BN sahaja. Jadi, jangan difikir UMNO dan BN yang perlu memikir secara mendalam langkahnya pada PRU15 ini.

"Kedudukan sebagai kerajaan Persekutuan tidak menjamin jalan yang mudah juga bagi PN kalau tidak pula mendapat kelebihan di peringkat negeri kerana rakan suatu ikatan tidak juga jelas mendokong konsep Perikatan Nasional itu.

"Sama-sama kita tunggu dan lihat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!