X

Kindly register in order to view this article
!

Terengganu muncul tangga keempat pilihan pelancong

Ariffin (berdiri, dua dari kanan) bersama wakil pengayuh beca yang hadir menerima bantuan pada Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) bagi sektor pelancongan di jeti bot penambang, Pasar Payang, Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu berada pada kedudukan keempat sebagai negeri popular pilihan pelancong untuk bercuti mengikut data kadar purata penginapan pelancong pada tahun lalu.

Data yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bermula Januari hingga November 2020 itu menunjukkan Terengganu naik tujuh anak tangga berbanding kedudukan ke-11 pada tahun 2019.

Exco Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, prestasi memberangsangkan itu hasil komitmen pelbagai pihak dalam mengekalkan status Terengganu sebagai negeri pelancongan.

“Selain data keseluruhan, data bulanan kadar purata penginapan pelancong untuk negeri Terengganu pada Jun hingga November 2020 juga menunjukkan peningkatan yang sangat baik.

“Terengganu sentiasa berada di lima tangga terbaik keseluruhan dan pernah berada di tangga kedua keseluruhan pada Julai dan September. Ini menunjukkan usaha kita sudah membuahkan hasil,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) bagi sektor pelancongan kepada Pengayuh Beca dan Pengusaha Bot Penambang di Jeti Bot Penambang, Pasar Payang di sini pada Selasa.

Ariffin (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan kepada penerima pada Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) bagi sektor pelancongan di jeti bot penambang, Pasar Payang, Kuala Terengganu pada Selasa.
Ariffin (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan kepada penerima pada Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) bagi sektor pelancongan di jeti bot penambang, Pasar Payang, Kuala Terengganu pada Selasa.

Melalui program itu, seramai 50 pengayuh beca dan 18 pemandu bot penambang menerima bantuan berjumlah RM400 seorang melibatkan peruntukan sebanyak RM27,200.

Sementara itu, penerima bantuan, Abdullah Muhamad, 64, dari Kampung Ladang di sini berkata, dia bersyukur dengan bantuan itu kerana pendapatannya sebagai pengayuh beca terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Abdullah yang sudah 30 tahun mengayuh beca berkata, dia kini langsung tidak mendapat upah kerana tiada pelancong mendapatkan khidmat becanya berikutan larangan rentas negeri dan daerah sepanjang PKP.

“Bulan ini kosong (pendapatan) sebab biasa pelancong yang naik beca untuk ke mana-mana. Orang tempatan ada kenderaan sendiri. Saya hanya bergantung kepada sumbangan bekalan makanan dari pelbagai pihak.

“Syukur alhamdulillah, kerajaan negeri beri bantuan, sedikit sebanyak dapat menampung keperluan kami seharian,” katanya yang mempunyai dua anak berusia 16 dan 18 tahun.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!