Warga emas hidup dalam teratak usang tanpa bekalan air

Choong Keong menunjukkan kad pengenalan lama yang sudah hampir reput dan tidak pernah ditukar.
Choong Keong menunjukkan kad pengenalan lama yang sudah hampir reput dan tidak pernah ditukar.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng pada Selasa mendedahkan masih ada individu yang tinggal dalam teratak usang berbumbung zink reput dan berdindingkan kain selimut dan plastik.

Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, lebih menyedihkan, lelaki warga emas yang menghuni sebuah pondok dikelilingi semak di Kampung Baru Salak Selatan di sini sejak tiga tahun lalu juga masih menggunakan kad pengenalan lama yang sudah hampir reput.

Menurutnya, beliau mengetahui kisah lelaki itu menerusi aduan orang ramai.

"Sepanjang hidup selama 58 tahun, saya tidak pernah melihat orang daif seperti ini hidup dalam rumah yang telah roboh kesemuanya, hanya ada satu katil kecil untuk tidur di bawah pokok, periuk nasi dan peti sejuk usang.

Keadaan pondok usang dihuni Choong Keong sejak tiga tahun lalu.
Keadaan pondok usang dihuni Choong Keong sejak tiga tahun lalu.

"Tidak ada tilam dan hanya tidur bersama nyamuk, ulat dan ular, " katanya.

Chee Heng berkata, warga emas berkenaan, Leong Choong Keong, 64, kini tidak mampu bekerja dan hanya bergantung makanan dihantar adik-beradiknya yang juga hidup susah.

"Saya difahamkan warga emas ini dulu tinggal bersama adiknya namun selepas adiknya meninggal dunia, dia kembali ke tapak rumah yang sudah roboh ini.

Artikel Berkaitan:

"Di sini ada bekalan elektrik yang disambungkan dari kilang berdekatan namun bekalan air diambil dari perigi," katanya ketika meninjau keadaan teratak warga emas itu pada Selasa.

Chee Heng berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah dimaklumkan berhubung kisah hidup warga emas berkenaan dan dalam proses menghulurkan bantuan.

Bilik tidur yang hanya berbumbungkan zink reput dan berdindingkan kain selimut dan plastik.
Bilik tidur yang hanya berbumbungkan zink reput dan berdindingkan kain selimut dan plastik.

Katanya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga memaklumkan akan membantu dalam permohonan MyKad baharu untuk warga emas berkenaan.

"Untuk bantuan jangka masa pendek, kita cadangkan kawasan rumah warga emas ini dibersihkan dan meletakkan sebuah kabin untuk membolehkannya tinggal dengan sedikit selasa.

"Kita juga akan membantu mendapatkan kontraktor bagi memastikan dia mendapat bekalan elektrik yang selamat," katanya.