RM18 juta atasi kekeruhan air tiga LRA utama di Raub

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

RAUB - Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan sebanyak RM18 juta bagi projek pembinaan tangki mendapan melibatkan tiga loji rawatan air di sini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan tangki mendapan itu bagi menangani masalah air keruh yang berlaku di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semantan, Sungai Klau dan Sungai Bilut.

Menurutnya, tindakan itu diambil berikutan tiga loji utama itu sering mengalami gangguan bekalan air.

“Bagi projek LRA Sungai Semantan dan LRA Sungai Klau, kerja-kerja pembinaan bermula semalam (Isnin) dan dijangka siap dalam tempoh 52 minggu.

"Projek LRA Sungai Bilut pula masih menunggu keputusan pihak Lembaga Tender Kementerian Alam Sekitar dan Air,” katanya seperti dilaporkan Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Selasa.

Pada Isnin, Wan Rosdy mengadakan lawatan kerja bagi meninjau LRA Sungai Semantan dan Sungai Kelau di sini.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, loji rawatan air sedia ada tidak mampu memproses sumber air mentah pada tahap kekeruhan yang tinggi berbanding nilai bacaan kekeruhan biasa.

“Biasanya, Kadar Tingkat Kekeruhan Air (NTU) melebihi 1,000 memerlukan sesebuah loji rawatan air ditutup, namun di Sungai Bilut tahap kekeruhan yang dicatatkan mencapai sehingga 11,000 NTU, selain di Sungai Semantan sehingga 10,000 NTU dan di Sungai Klau sehingga 7,000 NTU,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pembinaan tangki mendapan itu dijangka dapat membantu seramai 19,970 pengguna keseluruhannya yang terkesan.

“Nilai kontrak bagi projek LRA Sungai Semantan berjumlah RM5.22 juta dan nilai kontrak bagi projek LRA Sungai Klau pula berjumlah RM3.41 juta,” katanya.

Beliau berkata, masalah bekalan air yang sering terjejas dan membebankan penduduk di daerah ini diharap dapat diatasi sepenuhnya melalui pembinaan tangki mendapan itu.

“Saya berharap pihak kontraktor yang ditawarkan projek ini dapat melaksanakan dan menyiapkan projek dalam tempoh ditetapkan serta memastikan pembinaan tangki mendapan ini dapat berfungsi dengan baik," katanya.