X

Kindly register in order to view this article
!

Koperal mengaku tak salah terima rasuah RM1,000

Tertuduh, Ahmad Jefri Azizi Mohamad, 41, (kiri) dikawal anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu bagi dituduh menerima rasuah.
A
A

KOTA BHARU - Seorang koperal polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tuduhan menerima rasuah RM1,000 daripada seorang lelaki tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Jefri Azizi Mohamad, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas itu didakwa memperoleh rasuah sebanyak RM1,000 daripada Mohammad Salam Ibrahim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang wanita warga Thailand, Miss Masiyaton Huseng kerana kesalahan memiliki pas sempadan tamat tempoh mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Kesalahan didakwa dilakukan di Tasek Raja, Bandar Baru Pasir Mas pada jam 12.40 tengah hari pada 1 Jun tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan agar pasport diserahkan kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam bela, Nur Nadia Mohd Nordin yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya perlu menanggung isteri tidak bekerja dan dua orang anak yang masih bersekolah.

“Tertuduh berpangkat koperal dengan pendapatan sebanyak RM2,900 sebulan. Tertuduh juga menjaga ibu mentua uzur.

“Dia juga bersedia dikenakan sekatan ke luar daerah untuk bekerjasama dengan pihak SPRM, ” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan agar tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan 31 Mac depan untuk tarikh sebutan semula.

Tertuduh membayar jumlah ikat jamin yang ditetapkan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!