Yadim peruntuk RM250,000 bantu kumpulan terjejas

Ahmad fathan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pasukan barisan hadapan di SJR di Lembah Sireh, di sini. (Gambar kecil: Ahmad Fathan Mahmood)
Ahmad fathan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pasukan barisan hadapan di SJR di Lembah Sireh, di sini. (Gambar kecil: Ahmad Fathan Mahmood)
A
A
A

KOTA BHARU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyediakan peruntukan sebanyak RM250,000 tahun ini bagi membantu kumpulan sasaran yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Ahmad Fathan Mahmood berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan melalui bantuan secara berperingkat melibatkan 4,000 keluarga penerima di seluruh negeri.

“Sejak Januari lalu hingga kini, Yadim menyalurkan sumbangan kepada 1,000 keluarga melibatkan peruntukan sebanyak RM50,000 melalui 17 program Musaadah Covid-19 dan juga program banjir yang dilaksanakan pihak kami.

“Baru-baru ini pun kami ada bantu pemandu-pemandu bas sekolah dan teksi di kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang terkesan apabila perkhidmatan terpaksa dihentikan disebabkan tiada penumpang,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau meluangkan masa dan menyampaikan sumbangan makanan serta keperluan asas seperti penutup muka dan cecair pembasmi kuman kepada petugas-petugas barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Lembah Sireh, di sini.

Hadir sama, Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang.

Menurut Mahadi, pihaknya akan terus membantu mereka yang memerlukan mengikut kumpulan sasaran yang dikenalpasti.

“Kita akan pergiat usaha membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19. Kita utamakan mereka yang betul-betul hilang punca pendapatan dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan: