Pemandu teksi cedera disamun penumpang

Polis masih memburu suspek yang melarikan sebuah teksi di Taman Pinggiran Batu Caves pada Isnin. (Gambar hiasan) - Foto 123RF (Arifai Tarawe)
Polis masih memburu suspek yang melarikan sebuah teksi di Taman Pinggiran Batu Caves pada Isnin. (Gambar hiasan) - Foto 123RF (Arifai Tarawe)
A
A
A

GOMBAK - Seorang pemandu teksi cedera selepas disamun oleh seorang penumpang di Taman Pinggiran Batu Caves di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa berusia 65 tahun telah mengambil seorang lelaki di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur pada jam 10 pagi.

Menurutnya, setelah sampai di Taman Pinggiran Batu Caves, suspek berpura-pura meminta mangsa untuk menunggu sekejap dengan alasan untuk berjumpa seorang kawannya.

"Suspek kemudian telah mengajak mangsa untuk menghisap rokok di luar teksi.

"Apabila mangsa keluar dan mahu menghisap rokok, suspek tiba-tiba masuk ke tempat duduk hadapan teksi dan mengunci pintu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Arifai berkata, mangsa sempat pergi ke pintu penumpang hadapan dan membukanya untuk masuk, namun suspek terus memecut laju melarikan teksi tersebut.

"Akibat daripada insiden itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan ringan di beberapa anggota badan

"Polis masih memburu suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat iaitu Inspektor Mohd Che Ibrahim di talian 016-9537372 atau 03-61262222.